Sekat iklan dalam talian tawar fasiliti pelancongan haram - MyBHA

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ganesh Michiel
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ganesh Michiel
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mengambil tindakan segera menyekat tawaran premis penginapan beroperasi secara haram yang diiklankan agensi pelancongan dalam talian, demi memastikan nasib pemain industri yang sah lebih terbela.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, pengusaha hotel dan perkhidmatan pelancongan berlesen sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, namun terjejas disebabkan wujud persaingan tidak sihat melibatkan pihak yang beroperasi secara haram sejak sekian lama.

Menurutnya, isu fasiliti penginapan tidak berdaftar yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan bukan perkara baharu, dan akan terus merosakkan industri pelancongan negara sekiranya tiada dasar yang benar-benar membela nasib pengusaha yang sah.

“Kementerian perlu memantau agensi pelancongan dalam talian yang mengiklankan premis-premis beroperasi secara haram ini. Sekat penjualan dalam talian ini terlebih dahulu, automatik pengusaha haram ini perlu dapatkan lesen.

“Berlaku persaingan harga tidak munasabah menyebabkan tempahan kami terjejas kerana pelanggan cenderung menempah unit kondominium yang dijadikan hotel.

“Sedangkan ada hotel beroperasi di sebelah bangunan kondo yang perlu bayar insuran, bayar bil elektrik dan air ikut dengan kadar komersial tapi yang penginapan tidak berlesen ini semua hanya bayar ikut kadar residen. Adilkah? Pelaburan kami membeli bangunan untuk dijadikan hotel juga jauh lebih besar berbanding nilai hartanah mereka,” katanya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan pemain industri pelancongan enggan mengikuti peraturan sedia ada walaupun MOTAC menekankan penguat kuasa undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MOTAC umpama harimau tidak bergigi apabila terdapat pihak yang membuat tindakan sesuka hati.

Artikel Berkaitan:

Ganesh berkata, menjadi tanggungjawab MOTAC membela nasib pemain industri pelancongan sah yang berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggan.

“Isu peraturan bangunan dan sebagainya tak ada masalah kalau hotel berlesen, semua sudah patuh peraturan ditetapkan. Tapi, jadi masalah adalah yang tidak berlesen seperti kondominium dijadikan hotel dan rumah tumpangan.

“Kita ikut peraturan, tetapi adakah MOTAC membantu kita dengan ambil tindakan tegas kepada pengusaha haram yang menjejaskan pendapatan pemain industri sebenar?” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!