PRK Nenggiri: BN tawar manifesto melengkapi keperluan penduduk

Mohd Azmawi Fikri
Mohd Azmawi Fikri
A
A
A

GUA MUSANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menawarkan manifesto yang melengkapi segenap keperluan penduduk di kawasan itu yang merangkumi pembangunan modal insan, ekonomi, perumahan generasi muda serta liputan talian komunikasi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Awie berkata, penekanan utama ialah untuk melengkapkan anak-anak muda dengan modal insan yang baik.

"Keduanya ekonomi, disebabkan Nenggiri terletak di luar bandar dan merupakan kawasan pertanian, kita tengok ada kelapa sawit, getah. Untuk tanah yang tidak digunakan lagi kita cari pertanian baharu.

"Di mana ia (pertanian) tidak perlukan fokus kepada penjagaan. Saya ada dua tiga cadangan yang akan diutarakan nanti," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada malam Sabtu.

Menurut Awie, fokus ketiga ialah perumahan generasi muda iaitu di mana ia telah diperjuangkan olehnya semasa Majlis Perundingan Belia lagi.

Ujarnya, beliau menekankan mengenai perumahan untuk generasi kedua.

"Alhamdulilah di Sungai Asap telah dilancarkan PPD (Pusat Pertumbuhan Daerah) bawah Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan).

"Kita juga bersama generasi kedua Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) bersama-sama berjuang di Perasu untuk jadikan ia realiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Awie memberitahu, seterusnya manifesto yang ditawarkan ialah mempertingkatkan liputan talian komunikasi di DUN Nenggiri.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd Azmawi Fikri sementara PN, Mohd Rizwadi Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Dalam PRK lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!