'Kami segera selamatkan dia selepas lihat percikan api'
KUANTAN - Tindakan pantas dua sahabat berjaya menyelamatkan seorang warga emas dalam kebakaran membabitkan dua rumah kayu di Kampung Tengah di sini pada petang Sabtu.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 66 tahun dikatakan berada di ruang belakang di dalam rumah berkenaan.
Saksi kejadian, Amar Asyraf Khairul Anuar, 15, berkata, usaha menyelamat warga emas itu dilakukan bersama rakannya, Mohd Zafran Qayyum, 13, selepas melihat kepulan asap dan percikan api keluar dari meter rumah tersebut.
"Masa itu, kami sedang bermain dan lihat percikan api, saya dan Zafran cuba bantu keluarkannya dari rumah kerana kami tahu dia (warga emas) tidak boleh berjalan.
"Jadi, kami memapahnya, kemudian Zafran memaklumkan tidak larat, lalu saya minta agar mendapatkan bantuan orang lain untuk bawa dia ke tempat selamat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada petang Sabtu.
Rakanya, Mohd Zafran berkata, kejadian itu dimaklumkan segera kepada pemilik rumah yang berniaga pisang goreng, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Dia seterusnya meminta bantuan daripada salah seorang pekerja di bengkel kereta berhampiran supaya segera menghubungi bomba.
"Waktu saya sampai semula ke rumah itu, nampak api sudah marak," katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, dua rumah jenis separuh kekal terlibat dalam kebakaran dan ia tidak melibatkan sebarang mangsa.
Seramai 12 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan pada 1.20 tengah hari dan pihaknya berjaya mengawal kebakaran terbabit.
Sementara itu, mangsa, Safiah Ismail, 80, meluahkan rasa bersyukur kerana adiknya terselamat dalam kejadian terbabit.
Dia mengakui terkejut sebaik sahaja dimaklumkan rumahnya didiami lebih 40 itu musnah dalam kebakaran.
"Tidak tahu apa punca kebakaran, saya hanya ingat adik sahaja masa kejadian sebab dia tidak boleh berjalan, tapi mujur ada orang tolong selamatkan," katanya.
Walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang, Safiah reda dengan ujian ALLAH.
"Selalu saya melihat dan dengar berita mengenai rumah orang terbakar, tapi kali ini saya pula kena lalui sendiri.
"Bila sudah jadi macam ini, saya terima dengan hati terbuka," ujarnya yang menetap di rumah anaknya di Indera Mahkota di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!