Raygun pertahan tarian peliknya, anggap pengkritik tidak faham seni
ATLET breakdance Australia yang menjadi tular di media sosial kerana rutin uniknya di Sukan Olimpik telah membalas pengkritiknya dengan mengatakan mereka tidak memahami 'seni'.
Raygun, seorang pensyarah universiti berusia 36 tahun yang nama sebenarnya Rachael Gunn, menarik perhatian dalam pertandingan breakdance di Paris.
Sukan ini dimasukkan ke temasya Olimpik buat kali pertama dan walaupun ramai peserta berjaya memukau penonton, Raygun mengambil pendekatan berbeza.
Rutinnya termasuk beberapa gerakan yang serta-merta menjadi 'meme' di media sosial termasuk pergerakan anehnya ketika beraksi.
Raygun juga memilih untuk mengenakan pakaian sukan Australia dan topi, berbanding baju breakdance sekali gus menjadi ejekan di media sosial.
“Semua pergerakan saya adalah asli. Kreativiti sangat penting bagi saya. Saya pergi ke sana dan saya menunjukkan kesenian saya.
“Kadang-kadang ia berjaya menarik minat juri dan kadang-kadang tidak. Saya melakukan perkara saya dan ia mewakili seni.
"Itulah yang dimaksudkan. Apa yang saya mahu lakukan ialah datang ke sini dan melakukan sesuatu yang baharu, berbeza serta kreatif - itulah kekuatan saya, kreativiti saya," katanya.
Raygun mempunyai Ijazah Dktor Falsafah (PhD) dalam tarian, politik jantina dan dinamik antara metodologi teori dan praktikal.
Dia menceburi sukan itu pada usia 20-an dan sedih kerana acara tersebut tidak akan dianjurkan di Olimpik Los Angeles pada 2028.
Pingat emas pada Paris 2024 dimenangi oleh Ami Yuasa dari Jepun, yang menewaskan atlet Lithuania Dominika Banevic 3-0 pada perlawanan akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!