Petinju wanita kontroversi, Yu Ting menang emas

Yu Ting mencium pingat emas yang dimenanginya. - Foto: AFP
Yu Ting mencium pingat emas yang dimenanginya. - Foto: AFP
A
A
A

LIN Yu Ting, seorang daripada peninju yang terbabit dalam kontroversi pertikaian jantina di Sukan Olimpik Paris dinobatkan sebagai juara pada Sabtu selepas menewaskan Julia Szeremeta dalam perlawanan akhir kategori 57kg wanita.

Peninju dari Taiwan itu menewaskan lawannya dari Poland dengan keputusan sebulat suara dalam pertarungan yang berlangsung di Roland Garros.

Dia memeluk Szeremeta selepas pertarungan dan memegang tali gelanggang untuk membolehkan petinju Poland itu keluar gelanggang sebelum menerima sorakan daripada penonton.

Yu Ting dan peninju Algeria Imane Khelif kedua-duanya dibenarkan bertanding dalam Sukan Olimpik tahun ini oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) walaupun telah disingkirkan oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) tahun lepas kerana didakwa gagal dalam ujian kelayakan jantina.

Bagaimanapun, IBA tidak lagi diiktiraf pada tahun lepas kerana isu kewangan dan rasuah oleh IOC yang kini menyelia sukan tinju di Paris 2024.

Yu Ting dan Khelif sama-sama menjadi perhatian selepas petinju Algeria itu menewaskan Angela Carini dari Itali dalam masa hanya 46 saat pada perlawanan pembukaan.

Khelif memenangi pingat emas pada Jumaat malam selepas keputusan sebulat suara menewaskan juara dunia dari China, Yang Liu. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!