Jadi pendamai, bukan batu api
ALLAH berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 97, yang maksudnya: “Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas (antaranya) Maqam Ibrahim. Barang siapa memasukinya (Baitullah), amanlah dia. Dan kewajipan manusia terhadap ALLAH adalah mengerjakan haji ke Baitullah iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Dan barang siapa yang kufur (ingkar untuk kerjakan haji), maka sesungguhnya ALLAH Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun) daripada sekalian alam.”
Ayat di atas dinyatakan secara jelas bahawa kewajipan haji itu hanya jatuh kepada yang ada kemampuan sahaja. Inilah satu-satunya ibadat yang mensyaratkan berkemampuan sebagai salah satu syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya jatuh hukum wajib ke atas seorang mukallaf.
Daripada pembacaan saya terhadap tulisan-tulisan ulama terdahulu dan juga siri-siri perbincangan dengan pakar-pakar dalam bab haji, antara kemampuan yang dimaksudkan ialah dari segi kewangan. Maksudnya, bagi yang ingin ke Makkah untuk mengerjakan haji mestilah mempunyai wang yang cukup untuk perbelanjaan dan bekalan sebelum, semasa dan selepas mengerjakan haji. Bagi yang ada tanggungan, dia tidak dikira mampu jika perbelanjaan mengerjakan haji itu menyebabkan dia tidak mampu meninggalkan nafkah untuk orang di bawah tanggungannya.
Dalam memenuhi syarat kemampuan ini, ulama telah menyebut bahawa tidaklah 'wajib' seseorang Muslim itu melakukan suatu kerja tambahan atau mengambil bantuan yang orang lain semata-mata untuk memenuhi syarat tersebut. Ini berdasarkan kepada satu kaedah Fikah (Qawa’id Fiqhiyyah) yang menyatakan menghasilkan kewajipan (al-wujub) itu bukanlah wajib.
Berkemampuan (istito’ah) adalah salah satu syarat wajib haji. Cukup nisab adalah syarat wajib zakat. Oleh itu, haji hanya wajib ke atas orang yang berkemampuan. Zakat hanya wajib jika nisab telah cukup tetapi ALLAH tidak mewajibkan hamba-Nya 'menghasilkan' istito’ah dengan cara buat kerja tambahan, memohon bantuan dan seumpamanya demi untuk menjadikan haji itu jatuh wajib ke atas hamba-Nya sebagaimana juga ALLAH tidak mewajibkan kita berusaha mencukupkan nisab agar zakat itu jatuh wajib kepada kita.
Dengan kata lain, selagi mana kita tidak mampu untuk menanggung kesemua kos haji, selagi itu haji tidak wajib ke atas kita. Selagi nisab tidak cukup, selagi itulah kita tidak wajib mengeluarkan zakat harta.
Bukan isu politik
Kaedah ini jauh bezanya dengan kaedah Fikah lain yang berbunyi: “Sesuatu yang wajib itu jika tidak dapat disempurnakan melainkan dengan melakukan sesuatu perkara, maka perkara tersebut juga wajib dilaksanakan.”
Contohnya ibadah solat tidak dapat disempurnakan melainkan dengan berwuduk, maka berwuduk itu juga dihukumkan wajib. Ibadah tawaf itu tidak dapat disempurnakan melainkan dengan berwuduk, maka berwuduk sebelum melakukan tawaf juga adalah wajib.
Kenapa saya bawa contoh haji dan zakat dalam membicarakan kaedah fikah tersebut? Kerana dalam bab haji masyarakat Muslim di Malaysia termasuk yang berlatar belakang agama, sukar hendak menerima hakikat bahawa mereka belum wajib tunaikan haji jika mereka tidak mampu menanggung kos haji sepenuhnya. Mereka sangat gembira jika tidak cukup nisab sebab tidak wajib keluarkan zakat malah tidak akan berusaha pun untuk cukupkan nisab meskipun ada kehendak yang tinggi untuk tunaikan zakat. Kenapa kita memberi layanan yang berbeza dalam bab haji dan bab zakat?
Saya sedih bila isu istito’ah itu dijadikan isu politik. Di media sosial, semua orang ingin mengulas sehingga ada yang menganggap tindakan Tabung Haji (TH) sebagai kapitalis apabila dalam borang rayuan yang dikuatkuasakan, ada ruang yang perlu diisi oleh mereka yang membuat rayuan sama ada sanggup membayar bayaran penuh atau sebaliknya.
Kenapa isu itu tidak dipolitikkan pada tahun-tahun sebelum ini, sedangkan pertanyaan dalam borang berkenaan sudah wujud sekian lama. Jangan kita membutakan mata dan hati untuk mencari kebenaran dan bercakap berdasarkan kebenaran atau lebih teruk lagi kita tahu kebenaran tetapi menyembunyikan kebenaran itu.
Akhir kalam, jadilah orang yang suka mendamaikan dan bukan menjadi batu api. Wallahuaklam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!