Sinar Harian rangkul laporan berita terbaik MBI

Saifullah menang anugerah Laporan Berita Terbaik menerusi berita 'Ipoh Model Ekonomi Donat' pada malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.
Saifullah menang anugerah Laporan Berita Terbaik menerusi berita 'Ipoh Model Ekonomi Donat' pada malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Sinar Harian memenangi Laporan Berita Terbaik pada malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh pada Sabtu.

Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad menang anugerah tersebut menerusi berita 'Ipoh Model Ekonomi Donat' sekali gus membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM500.

Laporan yang disiarkan pada 8 Disember 2023 itu antara lain memaparkan langkah menjadikan Ipoh sebagai Bandar Ekonomi Donat menjelang tahun 2027 yang menjanjikan pembangunan seimbang kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat di bandar raya itu.

Berkongsi kegembiraan, Saifullah berkata, kejayaan itu menjadi pendorong kepadanya untuk menghasilkan lebih banyak laporan berita yang positif dan memberi manfaat kepada pembangunan negeri.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tengah) menerima Anugerah Khas sempena malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (tengah) menerima Anugerah Khas sempena malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.

"Penghargaan ini amat bermakna buat rakan-rakan media untuk menghasilkan berita berkualiti dan memberi impak dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan.

"Diharap penganjuran seumpama ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan lagi semangat warga media dan mengukuhkan hubungan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Anugerah Media Bandaraya Ipoh yang julung kali diadakan itu merupakan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan Puncak Emas Infra Sdn Bhd dan telah mendapat hampir 50 penyertaan dari semua agensi media di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Saifullah (duduk tengah) diraikan rakan media daripada pelbagai agensi yang hadir sempena malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.
Saifullah (duduk tengah) diraikan rakan media daripada pelbagai agensi yang hadir sempena malam Anugerah Media Bandaraya Ipoh 2024 yang berlangsung pada Sabtu.

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Laporan Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik, Laporan Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Jurufoto Terbaik, Juruvideo Terbaik dan Wartawan Terbaik.

Pada majlis itu, turut disampaikan Anugerah Khas kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Majlis yang dimeriahkan dengan persembahan daripada artis Hard Rock Cafe Ipoh itu turut dihadiri Pengurus Besar Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Ir Saiful Azzuan Aznam; Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman dan Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelancongan, Seni Budaya dan Warisan MBI, Datuk Ahmad Hariri Kamarudin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!