Malaysia kutuk serangan kejam ke atas sekolah di Gaza

Orang ramai mencari mangsa di sekolah yang rosak akibat serangan udara Israel di Bandar Gaza. Foto Xinhua
Orang ramai mencari mangsa di sekolah yang rosak akibat serangan udara Israel di Bandar Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab oleh rejim Israel terhadap Sekolah al-Tabin di Bandar Gaza pada 10 Ogos lalu yang telah meragut nyawa lebih daripada 100 rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kehilangan nyawa akibat serangan itu dijangka meningkat akibat kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan.

“Serangan yang disengajakan terhadap sekolah yang dijadikan tempat perlindungan oleh rakyat Palestin bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia, tetapi juga merupakan satu jenayah kemanusiaan yang tidak terampunkan,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Tambahnya, rejim Israel sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang niat untuk mencapai perdamaian.

“Amat tidak berperikemanusiaan bagi masyarakat antarabangsa untuk hanya berpeluk tubuh sementara tentera Israel terus membunuh wanita, kanak-kanak, dan warga tua tanpa sebarang hukuman.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur dengan keangkuhan rejim Israel malah janji-janji kosong kerajaan Israel untuk mencapai gencatan senjata kekal dalam rundingan damai yang sedang berlangsung tidak boleh dipercayai,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, Malaysia terus menyeru sekutu-sekutu rejim itu untuk segera menghentikan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, dan menghentikan segala sokongan yang membolehkan genosid ini diteruskan.

“Tindakan segera, mendesak dan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu amat diperlukan untuk melaksanakan gencatan senjata kekal, memastikan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa halangan ke Palestin, dan membawa rejim Zionis ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya

Artikel Berkaitan:

Malah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti bersatu dan bekerjasama dengan semua Negara Anggota PBB untuk mendesak Israel mematuhi Resolusi UNSC 2735 (2024) dan menghormati Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024.

“Masa untuk bertindak adalah sekarang dan Malaysia berdiri teguh dalam komitmennya terhadap keadilan dan keamanan, dan akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.

“Malaysia tidak akan berhenti sehingga Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat ditubuhkan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya yang sah, dan Palestin diiktiraf sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!