Lawan arus cuba lari sekatan jalan raya

Azry (kiri) melihat antara motosikal ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekitar ibu kota pada Ahad.
Azry (kiri) melihat antara motosikal ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekitar ibu kota pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sanggup melawan arus serta membahayakan pengguna jalan raya lain antara tindakan 'tak masuk akal' beberapa penunggang motosikal yang bertindak cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di ibu kota pada Ahad.

Bagaimanapun usaha itu gagal apabila mereka kemudiannya berjaya ditahan sekumpulan anggota polis berpakaian preman yang ditempatkan di beberapa lokasi sekitar sekatan jalan raya berkenaan.

Operasi bersepadu itu dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula jam 10 malam sehingga 5 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operasi diadakan di lima lokasi berbeza dan menjadi tumpuan di ibu kota ini melibatkan Op Bersepadu, Op Tutup dan Op Mabuk.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut bertugas dalam mengambil tindakan melibatkan kesalahan bunyi dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekitar ibu kota pada Ahad.
Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut bertugas dalam mengambil tindakan melibatkan kesalahan bunyi dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekitar ibu kota pada Ahad.

Beliau berkata, antara lokasi terlibat adalah Jalan Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Chow Kit, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Sentul, Jalan Tun Razak menghala Ampang dan Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang.

"Operasi dijalankan ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 2,190 motosikal dan 207 buah kereta selain sitaan sebanyak 29 buah kereta.

"Selain itu, sebanyak 607 saman dikeluarkan oleh pihak JSPT, 115 saman melibatkan JPJ dan sebanyak 245 saman melibatkan JAS merangkumi antara kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, melakukan ubah suai melampau, kacau ganggu bunyi dan beberapa kesalahan lain," katanya menerusi sidang akhbar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Antara lokasi terlibat adalah Jalan Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Chow Kit, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Sentul, Jalan Tun Razak menghala Ampang dan Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang.
Antara lokasi terlibat adalah Jalan Bangsar, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Chow Kit, Jalan Sultan Azlan Shah menghala Sentul, Jalan Tun Razak menghala Ampang dan Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang.

Katanya, operasi sama turut berjaya menahan individu yang terlibat dalam kesalahan narkotik selain memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Seramai lapan individu ditahan selepas didapati positif saringan air kencing yang dijalankan selain 13 individu didapati memandu dalam keadaan mabuk.

"Kesemua mereka yang ditahan ini terdiri daripada penunggang motosikal serta pemandu kereta melibatkan umur antara 18 hingga 50 tahun," katanya.

Menurutnya, operasi ini merupakan antara siri operasi yang dijalankan secara berterusan terutamanya pada hujung minggu bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan ditetapkan.

Operasi bersepadu yang dijalankan ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 2,190 motosikal dan 207 buah kereta.
Operasi bersepadu yang dijalankan ini melibatkan pemeriksaan sebanyak 2,190 motosikal dan 207 buah kereta.

"Kesalahan terutamanya melibatkan pengubah suaian ekzos selain beberapa modifikasi melampau menimbulkan gangguan kepada orang ramai serta pengguna jalan raya lain.

"Selain itu, operasi ini menfokuskan kepada pelanggaran peraturan serta undang-undang jalan raya antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta pelbagai kesalahan lain yang dilihat merisikokan bukan sahaja kepada pelaku malah pengguna lain," katanya.

Mengulas lanjut mengenai cubaan melarikan diri daripada sekatan jalan raya yang dijalankan, tegasnya ia adalah perbuatan berbahaya dan seharusnya tidak patut berlaku.

"Janganlah semata-mata mahu melepaskan diri, kita pula memberi ancaman keselamatan kepada pengguna lain dengan menunggang melawan arus dan sebagainya.

"Patuhi arahan anggota bertugas ketika sekatan jalan raya dilakukan, jangan bertindak sewenangnya dengan lakukan aksi sedemikian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!