'Terima kasih Jijoe, kami tetap bersamamu'
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang ketika saringan pertama acara keirin lelaki di Sukan Olimpik, Paris mempunyai hikmah.
Ujarnya, setiap yang berlaku termasuk apa yang tidak disukai mempunyai hikmah tersembunyi yang harus diterima dengan berlapang dada.
"Barangkali kamu tak suka sesuatu perkara tapi ia baik untuk kamu, barangkali kamu suka sesuatu perkara tapi ia tak baik untukmu.
"Insya-ALLAH ada hikmah apa yang berlaku," tulis beliau menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada pagi Ahad.
Ahmad Samsuri turut merakam penghargaan atas pengorbanan Azizul dan semangat juang yang tinggi ditunjukkan untuk menggapai impian memburu emas di Sukan Olimpik kali ini.
Selain itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan terima kasih kepada Azizul dan jurulatih serta semua penyokong yang memberikan sumbangan kepada negara dalam sukan berbasikal.
Beliau berkata, Azizul atau terkenal dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' sebelum ini telah banyak berkorban demi negara.
"Banyak pengorbanan dan semangat yang ditunjukkan demi negara yang kita cintai ini.
"Terima kasih Jijoe, jurulatih serta semua yang menyokong. Kami tetap bersamamu," tulis beliau.
Bekas juara dunia berusia 36 tahun itu tersingkir selepas diberikan status Disqualified (DSQ) ketika beraksi dalam saringan di Velodrom Saint Quentin malam tadi.
Azizul yang juga anak kelahiran Dungun, Terengganu tersingkir pada awal saingan itu gara-gara tindakannya didapati berada di depan pacer selepas garisan permulaan.
Sebelum ini, pada April 2022, beliau menjalani pembedahan jantung terbuka selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, Australia.
Pelumba berbasikal trek negara itu merupakan jaguh berbasikal paling berjaya dengan rekod satu pingat perak di Olimpik Rio 2016 dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!