Endrick Dos Santos dipinjamkan ke kelab Vietnam
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) membuat keputusan untuk meminjamkan tonggak tengah mereka, Endrick Dos Santos ke kelab Vietnam, Ho Chi Minh City.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT Alistair Edwards berkata, selain Endrick, turut dipinjamkan penyerang muda pasukan JDT II, Fergus Tierney yang berkelana ke Thailand.
"Kelab JDT ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Endrick dan Tierney berikutan perpindahan secara pinjaman masing-masing ke Vietnam dan Thailand.
"Endrick akan menyertai Kelab Vietnam Ho Chi Minh City FC manakala Tierney telah menyertai Chonburi FC di Thailand," katanya.
Menurut Alistair, keputusan untuk meminjamkan Endrick yang juga pemain naturalisasi negara dan Tierney yang merupakan pemain warisan dan tonggak skuad bawah 23 tahun (B-23) demi kebaikan pasukan itu.
"Kami berharap pinjaman ini memberi manfaat yang membolehkan Endrick dan Tierney memperoleh pengalaman berharga yang akan membuahkan hasil bagi Harimau Selatan pada masa hadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!