Segera laksana Akta Kawalan Produk Merokok
KOTA BHARU - Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menyarankan agar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) segera dilaksanakan demi kesihatan awam sekali gus mengekang pencemaran alam sekitar akibat putung rokok.
Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin berkata, antara peraturan yang termaktub mengikut akta itu termasuklah pendaftaran, penjualan, pembungkusan dan pelabelan manakala terdapat juga satu perintah berkaitan larangan merokok di tempat awam.
“Kami menyambut baik usaha kerajaan untuk mengimplementasikan akta ini dan boleh juga dilaksanakan bagi melarang perokok merokok di tempat awam khususnya di kawasan pantai.
“Lokasi pantai menjadi tumpuan ramai termasuk golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas, mereka ini sepatutnya dilindungi daripada bahaya yang boleh didapati daripada kimia akibat sisa buangan daripada putung rokok tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Bagaimanapun, beliau berkata, mentaliti dan sikap masyarakat juga perlu berubah serta menyedari bahawa sampah sekecil putung rokok boleh membawa mudarat serta merosakkan alam sekitar.
Sehubungan itu, katanya, kempen-kempen kesedaran kepada orang awan juga perlu dilakukan secara kerap dan berkala bagi memberi peringatan kepada mereka dari masa ke masa.
“Sampah putung rokok adalah sampah paling banyak di dunia. Walaupun saiznya kecil tetapi ada toksin, bahan kimia, nikotin, tar dan plumbum yang boleh mencemarkan laut serta mematikan hidupan seperti ikan.
“Manusia pula boleh terkena penyakit kanser akibat bahan kimia ini, jadi perlunya peringatan melalui kempen kesedaran kepada umum tentang bahaya putung rokok,” katanya.
Dalam pada itu, Hafizudin turut mencadangkan agar perokok membawa bekas yang dikhaskan untuk membuang putung rokok selain menasihatkan orang awam menggunakan ‘kuasa’ untuk menegur mereka yang membuang putung rokok merata-rata.
“Bawa bekas untuk membuang putung rokok, selepas hisap, matikan api dan puntungnya boleh diletakkan di dalam bekas, bawa balik sebelum dibuang ke tong sampah.
“Jika ternampak individu membuang sisa putung rokok di tempat tidak sepatutnya, kita tegur selain pempengaruh media sosial juga boleh membantu memainkan peranan dengan menghasilkan video-video bagi mengingatkan masyarakat tentang pembuangan potong rokok yang betul,” ujarnya.
Sinar Harian dalam laporan khas sebelum ini melaporkan keindahan kebanyakan pantai di negara ini dicemari sampah putung rokok. Tinjauan selama sejam mengutip sisa tersebut berjaya memperoleh lebih 5,000 putung rokok yang dibuang para pengunjung ke pasir dan celahan batu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!