PRK DUN Mahkota: UMNO Johor terbuka berunding dengan Amanah

Ahmad ( tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pontian pada Ahad.
Ahmad ( tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Kedudukan atau syarat diminta Parti Amanah Negara (Amanah) boleh dirundingkan bagi menyelesaikan isu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan nanti.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan dari segi calon, tidak seharusnya dipertikaikan kerana terdapat persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"UMNO Johor terbuka untuk rundingan dan berunding berhubung kedudukan atau syarat yang dipohon oleh Amanah Kluang.

"Mengenai hal-hal lain itu (kedudukan atau syarat) boleh dirunding.

"Saya bukan mahu nyatakan apa-apa keputusan di sini, namun tentunya perundingan boleh dibuat dan ia boleh dibawa ke peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan mesyuarat agung dwitahunan PAWE dekat sini pada Ahad.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, mengenai calon pula ia sudah ditentukan berdasarkan PRK sebelum ini, di mana calon daripada parti penyandang atau parti yang sebelum ini bertanding.

Jelasnya, isu DUN Mahkota merupakan perkara kecil yang tak perlu digembar-gemburkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita pun malas hendak bertelagah di khalayak ramai lagi-lagi sesama kawan. Secara prinsip, kita boleh lihat Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

"Sebagai contoh pada PRK Kuala Kubu Bharu (KKB), Sungai Bakap, Pelangai, Pulai, Simpang Jeram dan Nenggiri, PH-BN menggunakan persefahaman atau formula, parti yang menyandang kerusi akan bertanding semula di situ," ujarnya.

Pada minggu lalu, Ketua Amanah Kawasan Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu sidang akhbar mendesak pucuk pimpinan PH dan BN supaya memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd Zuhan, ini kerana Amanah Kawasan Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Namun katanya, jika UMNO Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri sedia memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, pihaknya sedia memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berharap isu kerusi DUN Mahkota tidak mencetus polemik berpanjangan yang boleh merosakkan hubungan baik PH-BN.

Tambahnya, kerjasama erat PH-BN di Johor yang ditunjukkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September tahun lalu membawa kemenangan dapat dikekalkan di DUN Mahkota.

"Sebelum PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, Amanah Johor datang bincang dengan UMNO Johor.

"UMNO membantu Amanah habis-habisan di Pulai dan Simpang Jeram. Malah UMNO Johor diakui Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

"Oleh itu, saya juga harap Amanah juga akan tolong UMNO nanti di DUN Mahkota, sekiranya kami bertanding nanti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!