Tiada kejadian culik libat tawaran wang RM100 - Polis
NILAI - Polis mengesahkan tiada kejadian cubaan culik membabitkan kanak-kanak dengan menawarkan wang RM100 seperti video tular di aplikasi TikTok di sebuah taman perumahan di Labu di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya mengesan satu video yang dimuat naik di media sosial pada Sabtu jam 9.20 malam yang memaparkan kejadian cubaan culik.
"Siasatan dijalankan dan mendapati kejadian tidak berlaku seperti mana yang tular. Tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu setakat ini.
"Tiada laporan kehilangan kanak-kanak di kawasan Labu bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 KK/233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk siasatan terhadap pemilik akaun yang memuatnaik video tersebut.
"Tindakannya itu boleh memecahkan keamanan awam. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial terutamanya yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam,"katanya.
Sementara itu,usaha Sinar Harian membuka video tular yang memaparkan dakwaan berkenaan gagal susulan akaun TikTok tersebut telah berada dalam mod 'private'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!