Selangor catat kes denggi tertinggi negara

Jamaliah (tengah) ketika melawat reruai pada program Program Hari Tanpa Kenderaan dan Karnival Sihat Selangor Peringkat MBSJ di Subang pada Ahad.
Jamaliah (tengah) ketika melawat reruai pada program Program Hari Tanpa Kenderaan dan Karnival Sihat Selangor Peringkat MBSJ di Subang pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi dengan laporan sebanyak 45,325 kes daripada 88,255 kes yang dilaporkan di seluruh negara sehingga Julai tahun ini.

Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin, jumlah kematian disebabkan denggi di negeri berkenaan dalam tempoh sama adalah sebanyak 14 kes.

"Sehingga 28 Julai, kes denggi secara keseluruhan di Malaysia adalah sebanyak 88,255 kes dan Selangor mencatatkan sebanyak 45,325 kes dengan 14 kes kematian dan menjadikannya kes tertinggi di Malaysia.

"Diikuti dengan negeri Johor sebanyak 9,566 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 8,059 kes.

"Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan pula menjadi antara negeri yang terendah masing-masing mencatatkan kes denggi sebanyak 186, 163 dan 28 kes," katanya.

Jamaliah ketika ditemui pada Program Hari Tanpa Kenderaan dan Karnival Sihat Selangor Peringkat MBSJ di Subang Parade pada Ahad
Jamaliah ketika ditemui pada Program Hari Tanpa Kenderaan dan Karnival Sihat Selangor Peringkat MBSJ di Subang Parade pada Ahad

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Hari Tanpa Kenderaan dan Karnival Sihat Selangor Peringkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Subang Parade pada Ahad.

Hadir sama, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jamaliah memaklumkan, bilangan kes demam denggi di MBSJ sehingga minggu epid ke 31 adalah sebanyak 5,937 kes berbanding dengan 4,577 kes pada minggu epid sama pada tahun lalu.

Jelasnya, antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam ialah sejumlah peruntukan anggaran sebanyak RM3.4 juta telah disalurkan kepada sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu melaksanakan aktiviti pengawalan dan pencegahan di peringkat PBT dan komuniti.

Selain itu, beliau bekata, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan agensi swasta seperti KAO Malaysia dan menerima sumbangan sebanyak 61,080 unit MOS Block Serum untuk diagihkan kepada orang awam melalui program komuniti.

"Kerajaan negeri juga sentiasa mengambil langkah proaktif dengan membincangkan isu denggi di peringkat negeri dan daerah dengan penglibatan pelbagai pihak melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Negeri dan Daerah yang dihadiri oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), PBT, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Ahli Majlis," ujarnya lagi.

Di samping itu, Jamaliah menambah, bagi meningkatkan kesedaran komuniti tentang kepentingan penggunaan repellant dan semburan aerosol serta penubuhan pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan Communication for Behavioural Impact (COMBI) yang melaksanakan aktiviti pencegahan denggi, pemusnahan tempat pembiakan aedes dan pendidikan kesihatan denggi di kawasan lokaliti.

"Bagi peringkat PBT pula, pelbagai usaha juga telah dijalankan oleh bagi menangani peningkatan bilangan kes demam denggi ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!