Lelaki terselamat, kereta dihempap pokok tumbang
KLANG - Seorang lelaki terselamat selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Kapar Batu 3 Klang, di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, lelaki berusia 40-an itu telah parkir kereta di bahu jalan, sebelum dia keluar ke kedai berhampiran.
"Mangsa telah keluar dari kenderaan sebelum pokok tumbang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 11.25 pagi.
"Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara bergegas ke lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati sebuah kenderaan dihempap sebatang pokok tumbang.
"Kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang itu giat dilakukan selama dua jam dan selesai pada jam 1.48 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!