Pembangkang jangan bersifat taqiyyah - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai pada Ahad.
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai pada Ahad.
A
A
A

JASIN - Pembangkang tidak seharusnya menjadikan sifat taqiyyah atau berpura-pura sebagai amalan demi untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka sewajarnya menunjukkan sikap telus sama ada di depan atau belakang pemimpin kerajaan Madani kerana secara tidak langsung rakyat akan menilai perjuangan mereka.

"Jangan bersifat taqiyyah iaitu berpura-pura di depan pemimpin utama saya, depan muka manis, sebaliknya di belakang menghentam dengan pelbagai fitnah.

"Imej itu harus diubah, walaupun kita boleh berbeza pendapat tapi harus ada adab atau tasawwuf dan jangan bersifat taqiyyah," katanya.

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai pada Ahad.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, terdapat beberapa negeri yang tidak mempunyai keserasian namun mengagumi sikap keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri di dalam memberikan peruntukan.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, situasi bermuka-muka pemimpin dapat dilihat terutama ketika musim pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) yang mana fitnah, makian dan tohmahan terhadap kerajaan sering kali dijadikan modal.

"Mesti ada sifat ikhlas di depan, ikhlas di belakang supaya rakyat dapat memberikan dukungan, mana yang intan, mana yang kaca," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!