Azizulhasni terlalu fokus strategi - Rizal Tisin

Azizulhasni (dua, kiri) ketika beraksi dalam acara basikal trek keirin lelaki pusingan pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama
Azizulhasni (dua, kiri) ketika beraksi dalam acara basikal trek keirin lelaki pusingan pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama
A
A
A

BEKAS pelumba berbasikal trek negara, Mohd Rizal Tisin berpendapat kesilapan dilakukan Datuk Mohd Azizulhasni Awang mungkin disebabkan terlalu fokus dengan strategi dirancang sekali gus tidak sengaja melepasi pacer dalam saringan pertama acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Beliau berkata, strategi yang dilakukan atlet berusia 36 tahun itu sudah bagus namun Mohd Azizulhasni seharusnya berhati-hati dengan pergerakan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan dalam perlumbaan keirin.

Menurut Mohd Rizal, sebagai seorang pelumba berpengalaman luas, Mohd Azizulhasni semestinya mahir tentang peraturan ditetapkan namun terdapat beberapa perkara tidak dapat dielakkan menyebabkan beliau melakukan kesilapan tanpa sengaja.

"Setiap pelumba mesti tahu peraturan cuma mungkin Mohd Azizulhasni terlalu fokus dengan perancangan yang sudah dibuat, secara tidak sengaja melakukan kesilapan disebabkan beberapa gangguan. Kalau tengok kenyataan Mohd Azizulhasni kesilapan itu berlaku sebab halangan berterusan dari pelumba Perancis, Rayan Helal.

"Pacer juga bergerak perlahan. Sebelum ini Azizul tiada masalah, tapi perkara ini tidak boleh dikawal,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Sementara itu, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat kesilapan demikian berkemungkinan berlaku sama ada disebabkan pelumba berusia 36 tahun itu berdepan tekanan atau terlalu bersemangat untuk memastikan beliau melepasi pusingan pertama acara kegemarannya.

"Seorang pelumba keirin yang sangat pengalaman tak sepatutnya berlaku kesilapan. Kalau cerita empat tahun sebelum Paris dengan perbelanjaan dikeluarkan, latihan persediaan dilakukan dan pengalaman buruk dari segi kesihatan.

"Kesilapan yang tidak disengajakan atau mungkin terlepas pandang, terlalu bersemangat ataupun dia ada banyak kerisauan sehingga berlakulah perkara yang semua orang tak nak berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kemampuan Mohd Azizulhasni untuk meneruskan kariernya sehingga temasya Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), Pekan berkata, atlet kelahiran Dungun itu tidak perlu memaksa dirinya untuk terus beraksi selepas ini.

"Ia terpulang kepada Azizulhasni sama ada beliau mahu teruskan ataupun tidak. Bayangkan acara pecut memerlukan tenaga begitu banyak walaupun kita lihat orang itu baik, kita nampak bertenaga tapi kita tidak tahu tahap kesihatan badannya," katanya.

Atlet Olimpik tiga kali, Josiah Ng pula mengakui terkejut dengan insiden menimpa Mohd Azizulhasni semalam dengan menyifatkannya sebagai satu ‘mimpi ngeri’ kepada peminat sukan tanah air.

"Jika saya dapat mengagak apa yang berlakunya, sepertinya tekanan kepada mereka berdua (Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom). Saya tidak pasti apa yang dia (Mohd Azizulhasni) buat, dia tak perlu keluar awal.

"Saya rasa tekanan kepadanya. Maksud saya, ia adalah satu tekanan besar untuk membawa pulang pingat emas pertama kita. Dan saya lihat wajah Shah dan Azizul keluar, Shah terkesan sebab itu dia berlumba seperti pelumba baharu,” katanya.

Semalam, impian negara merangkul emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 lebur apabila Mohd Azizulhasni tersingkir pada saingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome.

Ia selepas beliau didapati memintas derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum ia meninggalkan trek sekali gus perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Mohd Azizulhasni.

Penyandang pingat perak itu sepatutnya bersaing dengan lima pelumba lain iaitu Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun),Jeffrey Hoogland (Belanda) dan pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa.

Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin kemudian memaklumkan rayuan terhadap pembatalan penyertaan Mohd Azizulhasni telah dinafikan Ketua Komisar dan wakil UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!