Amirudin sumbang gaji ahli Parlimen bantu 12 peniaga terjejas kebakaran
HULU KELANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggunakan gajinya sebagai Ahli Parlimen Gombak untuk membantu 12 peniaga terjejas dalam kebakaran Medan Selera AU5.
Amirudin berkata, setiap peniaga menerima bantuan berjumlah RM8,000 membabitkan peruntukan keseluruhan RM96,000.
Beliau sebelum ini menolak menerima gaji sebagai ahli Parlimen yang dimasukkan dalam tabung komuniti untuk kegunaan rakyat Gombak.
"Saya sumbangkan gaji ahli Parlimen yang tak diambil (sejak PRU15) yang setiap tahun digunakan bagi bantuan golongan memerlukan.
"Saya tolak gaji ahli Parlimen kerana mempunyai gaji sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Menteri Besar Selangor," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Kebakaran Medan Selera AU 5 dekati sini pada Ahad.
Pada PRU15, Amirudin dari Pakatan Harapan (PH) menewaskan empat pencabar lain termasuk penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali (Perikatan Nasional) dengan majoriti undi 12,729.
Sementara itu, Amirudin berkata, selain bantuan kewangan, peniaga terjejas terbabit akan disediakan penempatan sementara di tapak lokasi sedia ada sehingga projek bangunan bazar dilaksanakan.
Menurutnya, pembinaan bazar membabitkan kerjasama bersama KPKT itu sedang diusahakan membabitkan peruntukan RM3. 5 juta yang akan disiapkan dalam tempoh dua tahun.
"Sementara menunggu projek siap, peniaga dibenarkan berniaga di tapak sedia ada yang kerja pembersihan akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
"Selain itu, MPAJ turut membiayai kos sekitar RM3, 500 buat setiap peniaga bagi penyediaan khemah serta peralatan lain bagi membolehkan peniaga memulakan kembali perniagaan dijadualkan minggu depan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak lapan gerai berkenaan musnah dalam kejadian kebakaran pada 26 Julai lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi membabitkan kemusnahan bangunan 80 peratus namun tidak melibatkan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!