Muhammad Jailani masih dianggap ADUN BN - Speaker DUN

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

JASIN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis masih dianggap sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) meskipun ada pihak mendakwa dia telah menyertai parti lain.

Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, ini kerana individu itu masih gagal menjawab surat balas rasmi berhubung isu beliau melompat parti biarpun tempoh 14 hari telah diberikan.

Menurutnya, surat itu telah diserahkan beliau sendiri kepada Muhammad Jailani ketika individu itu hadir di pejabatnya di Seri Negeri pada 18 Julai lalu dan turut disaksikan pembantu setiausaha DUN.

"Tempoh telah diberikan untuk beliau jawab surat itu, namun setakat ni saya belum terima sebarang jawapan surat itu daripada Muhammad Jailani.

"Tanggapannya begitu (masih ADUN BN) walaupun orang luar katakan (melompat parti), tapi selagi saya tak dapat surat saya tak boleh buat keputusan berdasarkan cakap-cakap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai dekat sini pada Ahad.

Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis.

Jelas Ibrahim, isu ini akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN selewat-lewatnya Jumaat ini untuk diputuskan kedudukan Muhammad Jailani selepas individu itu gagal memberi maklum balas terhadap surat yang telah diterimanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, selagi mesyuarat itu belum dilaksanakan selagi itu beliau tidak boleh meramalkan sebarang keputusan sama ada akan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN berkenaan atau sebaliknya.

"Mesyuarat ini dijangka diadakan minggu depan yang dianggotai ADUN, Exco dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Selepas itu baharulah kita tahu apa tindakan seterusnya," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.

Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.

UMNO tahun lalu menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat PH di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!