Karnival Kerjaya Jobcare: 387 pencari kerja ditemu duga, 32 diterima

V Papparaidu (lima dari kanan) bersama pencari kerja di Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Sri Jugra, Banting
V Papparaidu (lima dari kanan) bersama pencari kerja di Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Sri Jugra, Banting
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai 387 pencari kerja ditemu duga pada Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Sri Jugra, Banting anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor dekat sini pada Ahad.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, daripada jumlah itu, seramai 32 individu sudah diterima bekerja manakala 316 berjaya ke temuduga kedua.

Menurutnya, program bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyokong pencari kerja dan membuka peluang pekerjaan dalam kalangan warga Selangor.

"Sebanyak 33 majikan membuka kaunter untuk memperkenalkan kekosongan jawatan terkini yang berjumlah 4,627 dan terdapat juga sesi temu duga kerja yang sedang dijalankan sepanjang hari.

"Karnival ini berjaya menarik lebih daripada 387 peserta dan 32 peseta berjaya mendapat kerja dan juga 316 peseta berjaya ke temuduga kedua," ujarnya dalam satu kenyataan sempena Karnival Kerjaya Jobcare bagi daerah Kuala Langat.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim dan Pengarah, UPEN Seksyen Sektoral, Rahayu Ali dan Ketua Penyelaras UPPS, Pavithra Mohanadas.

V Papparaidu berkata, kerajaan negeri berbesar hati dengan sambutan hangat daripada masyarakat bagi program yang sedang berlangsung bagi siri jelajah di daerah Kuala Langat itu.

"Kerajaan Selangor juga mengambil kesempatan ini untuk menjemput warga Selangor yang mencari pekerjaan untuk menghadiri Program Karnival Kerjaya Jobcare.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai digalakkan untuk membawa salinan resume mereka dan bersedia untuk temu duga segera," ujarnya.

Pada Jumaat, V Papparaidu memaklumkan sebanyak 35,000 peluang pekerjaan tanpa had umur dibuka kepada orang ramai termasuk kepada golongan kelainan upaya (OKU) dalam Karnival Kerjaya JobCare Selangor.

Ujarnya, jelajah berlangsung di sembilan daerah bermula di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya pada 17 Julai dan diteruskan di Dewan Sri Jugra, Banting di Kuala Langat pada Sabtu.

Selain itu, program sama juga akan berlangsung di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Hulu Langat pada 17 Ogos dan Dewan Beringin Taman Seri Gombak pada 21 September.

Diikuti di Dewan Hamzah Klang (5 Oktober), Dewan Dato Penggawa Permatang, Kuala Selangor (19 Oktober), Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!