Tugu keris kenang perjuangan Tok Janggut
PASIR PUTEH - Majlis Perundingan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Pasir Puteh mencipta kelainan apabila membina mercu tanda berbentuk keris di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu berhampiran Pasir Puteh Sentral di sini.
Wakilnya, Abdul Shakur Sharrie berkata, pembinaan mercu tanda itu merupakan simbolik bagi mengenang perjuangan Mat Hassan Munas atau Tok Janggut dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah satu masa dahulu.
"Kita tampilkan kelainan ini sesuai dengan jajahan Pasir Puteh yang merupakan tempat kelahiran Tok Janggut.
"Hasrat kita satu, supaya generasi muda hari ini mengenang perit jerih dan keringat yang telah ditumpahkan oleh Tok Janggut serta pengikutnya dalam menggerakkan perjuangan menentang penjajah," katanya.
Menurutnya, lebih menarik lagi pembinaan tugu itu dilakukan secara bergotong-royong oleh ahli jawatankuasa MPKK dan Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh.
Katanya, Pengerusi MPKK Bandar Pasir Puteh, Zahari Hassan dan setiausahanya, Shahrul-Amin Ali merupakan tonggak utama yang menggerakkan binaan tugu tersebut.
"Walaupun terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan kerana melebihi perbelanjaan asal namun kami cukup gembira.
"Hal ini kerana ia adalah simbolik perjuangan yang harus dikenang oleh generasi muda," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!