Bot karam: Maritim gerak pesawat kesan pemancing hilang
KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan pesawat dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pemancing yang dikhuatiri hilang susulan insiden bot karam di perairan Kemaman di sini, pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, pesawat terbabit sedang diatur gerak bagi membantu operasi pencarian mangsa sekitar lokasi kejadian.
"Operasi pencarian mangsa yang dikhuatiri hilang itu turut disertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), polis serta nelayan tempatan.
"Setakat ini, sebuah bot sudah digerakkan ke lokasi kejadian sejak jam 8.40 pagi Ahad bagi mengesan mangsa yang masih hilang," katanya.
Menurut Ariffin, ketika kejadian, semua mangsa yang berasal dari Gombak, Selangor dan Raub, Pahang dikatakan menyertai aktiviti memancing sebelum bot dinaiki mereka karam selepas dipercayai dilanggar sebuah tongkang.
Katanya, mangsa dikatakan menaiki bot terbabit di Jeti Bukit Kuang Kemaman, kira-kira jam 5 petang pada Sabtu sebelum bertolak ke laut untuk memancing.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, seorang wanita lemas, manakala tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita masih hilang dalam kejadian bot dan tongkang berlanggar di kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari perairan Kuala Kemaman pada 6.30 pagi tadi.
Beliau berkata, tiga lelaki dan dua wanita terselamat dalam kejadian tersebut dan kesemua mangsa yang menaiki bot berusia antara 23 hingga 79 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!