Perkenalkan program makanan sekolah untuk semua
DUNIA sekarang mengalami masalah kekurangan makanan yang meluas, termasuk juga Malaysia. Malah, pada tahun 2022, Global Nutrition Report melaporkan terdapat dua juta rakyat Malaysia yang tidak cukup makan, iaitu tak mampu makan tiga kali sehari.
Sekitar 800 juta penduduk dunia menghadapi kelaparan kini. Walaupun krisis makanan semakin teruk, kurangnya tindakan antarabangsa untuk menangani puncanya.
Seharusnya, sistem makanan kita mampu menjamin hak setiap orang mendapat makanan dan nutrisi yang mencukupi. Selain itu, menjamin keadilan, kedaulatan makanan, keharmonian dan keseimbangan antara manusia dan alam sekitar.
Mengapa program pemakanan sekolah sejagat percuma amat penting dilaksanakan di Malaysia?
Menurut jurnal perubatan terkemuka The Lancet (Sept 8, 2023), program makanan percuma sekolah merupakan jaringan keselamatan sosial terluas di dunia; 83% negara menyediakan makanan sekolah bagi kira-kira 418 juta kanak-kanak setiap hari.
Lebih dari dua perlima (41%) kanak-kanak sekolah rendah dunia diberi makanan sekitar 61% di negeri pendapatan tinggi tetapi hanya 18% di negeri pendapatan rendah di mana makanan paling diperlukan.
Semasa sekolah ditutup semasa pandemik Covid-19, ratusan ribu kanak-kanak di Malaysia kehilangan peluang makanan sekolah selama hampir dua tahun dan kekurangan makanan pasti meningkat, terutama kanak-kanak dari isirumah pendapatan rendah.
Manfaat Fizikal
Pentingnya kesihatan dan pemakanan ketika ‘umur kanak-kanak pertengahan’ (5-12 tahun) tidak patut diabaikan.
Penyakit, kelaparan, malnutrisi dan kekurangan nutrisi menghalang perbangunan fizikal serta kehadiran (enrolment) sekolah.
Program pemakanan sekolah sejagat (universal school feeding program) dapat membantu pembangunan fizikal kanak-kanak pada umur kritikal.
Program demikian dapat memperbaiki mikronutrien keseluruhan. Misalnya, usaha ini dapat mengurangkan anemia (akibat kurangnya zat besi dalam darah) di kalangan kanak-kanak sekolah rendah dan gadis remaja.
Manfaat pendidikan
Manfaat pemakanan terhadap pembangunan kanak-kanak juga mempengaruhi pencapaian akademik mereka.
Kajian sistematis menunjukkan kaitan positif antara program pemakanan sekolah dan pencapaian akademik kerana kanak-kanak yang lapar ataupun tidak sihat kurang mampu belajar secara berkesan.
Menurut World Food Program (WFP), pelaburan demi pembangunan insan kanak-kanak antara yang paling berkesan.
Kesaksamaan dan penyertaan (Equity and Inclusion)
Kesan fizikal dan pendidikan pembangunan kanak-kanak juga mengurangkan ketidaksamaan dan peminggiran pada peringkat sekolah rendah.
Kesan terhadap kehadiran dan prestasi sekolah kanak-kanak miskin dan luar bandar amat menggalakkan menurut kajian World Food Program (WFP).
Pengurangan kadar keciciran, terutamanya di kalangan murid perempuan dan luar bandar, dapat memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan ibu di samping mengurangkan kadar kematian kanak-kanak.
Program sejagat mampu memupuk semangat kebersamaan di kalangan kanak-kanak. Ini akan mengurangkan stigma perbezaan sosio-ekonomi, budaya, ugama atau etnik.
Proses demikian terbukti berkesan akibat program pemakanan sekolah Jepun.
Pembangunan ekonomi tempatan
Program Pemakanan Sekolah akan terus meningkatkan pembangunan ekonomi tempatan.
Petani, pemeroses makanan, tukang masak, pengangkut makanan dan orang lain yang terlibat dalam rantaian pembekalan semua menikmati manfaatnya.
Petani tempatan patut terlibat dalam menyediakan bekalan makan yang segar, selamat dan sihat tanpa racun serangga.
Dengan demikian, makanan yang terlampau diproses (ultra-processed) juga dapat dielakkan.
Perlindungan sosial
Penyediaan makanan sekolah percuma dapat mengurangkan kerentanan keluarga terhadap kejutan seperti kemerosotan ekonomi, inflasi, wabak penyakit (seperti Covid-19) dan bencana alam.
Kepastian makan tengahari percuma secara berkala, untuk semua murid sekolah rendah dan menengah, dapat melindungi sumber serta kebajikan keluarga ketika terancam.
Pulangan pelaburan
Analisis Harvard School of Public Health menunjukkan pulangan ekonomi program pemakanan sekolah setanding dengan penyelesaian paling kos-efektif Copenhagen Consensus Center.
Menurut World Food Program (WFP) pula, ‘pelaburan pembangunan kanak-kanak antara pelaburan paling berkesan dan berhasil oleh pihak pemerintah’.
Manfaat pemakanan sekolah percuma bagi semua murid
Manfaat program pemakanan sekolah terhadap kanak-kanak dan remaja termasuklah: mengurangkan kelaparan dan malnutrisi;
mengurangkan kekurangan mikronutrien dan anemia;
mencegah berat badan berlebihan termasuk obesiti;
menambahkan kemasukan dan kehadiran sekolah;
meningkatkan prestasi kognitif dan akademik, serta
menngurangkan ketaksamaan antara jantina mendapat pendidikan.
Program Makanan Tambahan Sekolah di Malaysia selama ini merupakan usaha yang bermula di bawah Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan (RAMP) pada tahun 1976.
Namun, penglibatan pakar pemakanan Kementerian Kesihatan dapat membaiki lagi faedah kesihatan program yang ada sekarang.
Bekalan bahan makan oleh koperasi petani akan membaiki amalan pertanian dengan mengurangkan penggunaan racun serangga.
Penglibatan persatuan ibu-bapa akan tolong memastikan makanan murid yang selamat dan enak dimakan dengan menggunakan bahan tempatan.
Kesimpulannya, program pemakanan sekolah percuma merupakan cara paling berkesan untuk menjamin akses makanan berkhasiat, dan mengatasi malnutrisi serta kekurangan makanan berkhasiat.
Makanan yang disediakan mengandungi pemakanan lengkap dengan nutrien. Ini penting dalam usaha mengatasi kelaparan, mencegah berat badan berlebihan dan obesiti, akses sekolah dan pendidikan, serta mengurangkan penyakit serta kemiskinan.
Pemakanan baik dapat mencegah penyakit dan jangkitannya. Diet yang sihat juga membantu mencegah penyakit termasuk kanser, penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes.
Pemakanan lengkap akan membaiki sistem imun tubuh dan meningkatkan prestasi kognitif dan akademik. Program baik juga dapat mengurangkan ketaksamaan mendapat pendidikan antara jantina.
*Dr Wan Abdul Manan Wan Muda merupakan Presiden HADAM. Beliau pernah menjadi profesor di Pusat Pengjaian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia di Kelantan dan Felo Pelawat di Khazanah Research Institute.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!