Kemuncak hujan meteor Perseids dijangka berlaku malam esok

Poster yang di muat naik Agensi Angkasa Negara (MYSA) di Facebook pada Sabtu.
Poster yang di muat naik Agensi Angkasa Negara (MYSA) di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemuncak fenomena hujan meteor Perseid dapat disaksikan di ruang angkasa negara bermula malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos ini dengan purata 100 meteor per jam.

Agensi Angkasa Negara (MYSA) dalam satu kenyataan berkata, di Malaysia penampakan hujan meteor berkenaan adalah bagus kerana bulan akan terbenam pada tengah malam ketika waktu kemuncak fenomena berkenaan terjadi.

"Hujan meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit, iaitu di kawasan buruj Perseus. Bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.

"Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Menurut MYSA, Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus berdiameter sebesar 26 kilometer (km) dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Ujarnya, kali terakhir komet itu mendekati bumi adalah pada 1992 dan dijangka menghampiri bumi semula pada 2126.

Kemuncak fenomena Hujan Meteor Perseids dijangka berlaku pada malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos ini dengan purata 100 meteor per jam.
Kemuncak fenomena Hujan Meteor Perseids dijangka berlaku pada malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos ini dengan purata 100 meteor per jam.

"Ketika komet itu mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan dipenuhi sisa komet berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sisa tinggalan dipercayai akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang," tambahnya.

Dalam pada itu, MYSA memaklumkan, antara langkah boleh diambil bagi mencerap Hujan Meteor Perseids adalah berada di kawasan lapang yang selamat dan keadaan persekitaran serta langit gelap atau tiada gangguan cahaya, selain pandangan tidak terhalang dengan bangunan tinggi, pokok atau rumah.

"Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik. Sesuaikan mata anda dengan keadaan gelap selama 20 minit.

"Tidak perlu memfokus ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa," katanya.

Tambah kenyataan itu, komet merupakan pepejal gabungan batuan debu dengan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.

"Komet Swift-Tuttle kali pertama dijumpai pada 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle. Perseus pula ialah buruj langit utara. Ia terletak antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia.

"Mirfak adalah bintang paling terang di Persues dan saiznya lebih besar daripada matahari," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!