Islam yang maju

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BUKU Islam and Its Relevance to Our Age, karangan Asghar Ali Engineer, diterbitkan Institute of Islamic Studies di Mumbai, India pada tahun 1984.

Seiring dengan tema-tema sosio-ekonomi masyarakat Muslim dan idea-idea pembebasan yang banyak dibahaskan oleh penulis, edisi ini turut membicarakan masalah minoriti Muslim di India.

Isu minoriti Muslim yang diangkat penulis penting terutamanya selang beberapa tahun kemudian, tercetusnya peristiwa perobohan Babri Masjid di Uttar Pradesh (1992).

Satu lagi isu besar pada waktu itu ialah kes mahkamah Shah Bano (1985), muslimat India yang menghadapi cabaran peribadi akibat perlaksanaan hukum syariah di India utara dari zaman penjajahan British.

Kebanyakan bahan India ini digugur dari edisi Ikra’ yang terbit di Malaysia pada tahun 1990-an. Oleh demikian, sebahagian besar hujahnya terus relevan bagi pembaca Malaysia sehingga hari ini.

Edisi Bahasa Melayu terbitan Ikra’ berjudul Islam dan Cabaran Masakini (1994) lebih tertumpu kepada masalah yang dihadapi pada dasawarsa terakhir abad ke-20 Masehi.

Maka, buku Asghar terbitan Lestari Hikmah ini merumuskan sebahagian daripada karyanya yang lain, termasuk analisis sejarah sosioekonomi masyarakat Muslim sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Pendekatan Islam

Artikel Berkaitan:

Melalui karya-karyanya, Asghar konsisten berpendirian bahawa hubungan sosioekonomi yang wujud dalam masyarakat Muslimin tidak serupa, justeru tiada penyelesaian seragam bagi masalah yang dihadapi ummah.

Hal ini penting kerana ada pihak yang sering ambil mudah dengan menyarankan ‘penyelesaian’ Islam hanya dengan memetik ayat suci atau peristiwa sejarah tanpa memikirkan konteks dan kesesuaian zamannya.

Sebaliknya, pendekatan lain yang lebih wajar menekankan nilai Islam, misalnya untuk menegakkan keadilan dalam konteks tertentu. Misalnya, Surah An-Nisa bukan hanya mengenai soal wanita semata-mata.

Ada banyak aspek soal kebajikan dan keadilan dalam masyarakat yang dibicarakan dalam surah itu. Dengan memetik ayat-ayat dari Surah An-Nisa, Asghar menekankan pentingnya melindungi golongan mustadh’afin (h. 15), dan mendirikan pemerintahan yang adil (h. 26).

Riwayat hidup para nabi dan tokoh-tokoh Islam, seperti Abu Dzar, Bilal, Malcolm X dan ramai lagi, dapat menjadi teladan hidup bagi umat Islam. Riwayat hidup mereka masih relevan dalam usaha mencari insan mithali buat masa ini.

Nik Salleh dan Shah Waliullah

Tidak sedikit pelajar Malaysia yang pernah belajar di India, terutama sekali daripada Kelantan dan sebahagian turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran untuk melawan penjajah imperialis.

Antaranya ialah Nik Muhammad Salleh Wan Musa (Nik Leh) dari Kelantan. Nik Leh kagum dengan tokoh pemikir Islam India bernama Shah Waliullah Dehlawi dan mengulas relevannya sumbangannya bagi Malaysia.

Bahkan, Nik Leh turut berguru dengan Ubaidullah Sindhi, iaitu ulama’ India yang masyhur dan aktif melawan penjajah British.

Oleh sebab itu, kumpulan tulisan serta ceramahnya, yang diterbitkan warisnya beberapa tahun lepas turut menyentuh bukan sahaja arus tradisi dan warisan Islam di tanah air kita, bahkan gerakan patriotik (hub ul watan) melawan penjajah British.

Islam menentang imperialisme

Bahkan, sejak awal lagi, wujud arus pemikiran Islam yang jelas menentang imperialisme. Di peringkat antarabangsa dalam zaman moden, arus ini diterajui oleh Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan pengikutnya. Reaksi golongan ulama bukan seragam, malah berbeza-beza.

Dalam keadaan dunia kini, tatkala wujud pihak yang sanggup berperang dan mencerobohi tanahair orang lain atas alasan yang remeh, kita harus ikhlas mengucapkan salam dengan menjunjung prinsip kedamaian dalam hubungan masyarakat, mahupun pada peringkat antarabangsa.

Pengorbanan dan jasa Ashgar Ali bukan sahaja kerana meninggalkan pekerjaannya sebagai jurutera, tetapi juga atas keberaniannya mengutarakan isu yang mencabar arus utama.

Walhal, markasnya di Institute of Islamic Studies di Mumbai agak sederhana sahaja. Pejabat sederhana mereka tidak mempunyai kemudahan seperti di kebanyakan badan Islam di Malaysia kini.

* Imran Rasid adalah penyelidik International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian pasca-siswazah di Istanbul.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!