Tiada bekalan air bersih, Orang Asli berhabis duit beli air mineral

Sungai Nenggiri menjadi sumber air kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang untuk mandi kerana kira-kira 70 peratus penempatan mereka tiada bekalan air bersih.
Sungai Nenggiri menjadi sumber air kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang untuk mandi kerana kira-kira 70 peratus penempatan mereka tiada bekalan air bersih.
A
A
A

GUA MUSANG - Walaupun negara sudah hampir 67 tahun mencapai kemerdekaan, masyarakat Orang Asli di daerah ini termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri masih dibelenggu dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, dianggarkan kira-kira 70 peratus masyarakat Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) daerah ini mengalami masalah berkenaan.

NASIR
NASIR

"Masalah air di kawasan penempatan Orang Asli ini masih belum selesai dari dahulu sejak negara merdeka.

"Kami terpaksa guna air sungai untuk mandi dan kalau untuk minum, kami perlu berhabis duit beli air mineral di kedai," katanya ketika ditemui di penempatan Orang Asli Kampung Langsat di RPS Kuala Betis dekat sini.

Nasir berkata, di bawah DUN Nenggiri kawasan Orang Asli yang tiada bekalan air bersih ialah Pos Pasik, Kuala Wok, Kulat, Kuala Lah, Simpol, God dan Tohoi.

Bagaimanapun, tambahnya, situasi lebih sukar bagi penduduk Pos Pasik kerana berlaku pencemaran sungai di kawasan berkenaan.

"Bagi kemudahan bekalan air ini saya difahamkan peruntukannya dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tapi pada masa sama untuk kebajikan penduduk, kerajaan negeri juga boleh campur tangan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri tak boleh kata ini kewajipan Jakoa, tak boleh lepas tangan (kena bantulah)," ujarnya.

Susulan itu, Nasir menegaskan JKOAK bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak terutama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah penyediaan bekalan air bersih tersebut.

"Kita tak nak ada tuding menuding, kita nak kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bekerjasama untuk selesaikan isu-isu rakyat ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!