Bantuan kemanusiaan perlu segera masuk ke Gaza
SHAH ALAM - Penduduk di Gaza sedang mengalami pelbagai krisis dan menjadi keperluan untuk bantuan kemanusiaan segera dibenarkan masuk.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat di sana mengalami kekurangan bekalan air bersih dan makanan manakala perkhidmatan kesihatan pula lumpuh dengan hanya dua hospital beroperasi dengan kekurangan bekalan perubatan.
“Saksi yang berada di sana dapat mendengar jeritan mangsa dalam bangunan tersebut, namun tidak dapat melakukan apa-apa kerana ketiadaan bekalan asas air untuk memadam api tersebut.
“Dimanakah suara media arus perdana barat yang sekian lama melaungkan hak asasi manusia sebelum ini? Ini menunjukkan hipokrasi dalam pelaporan berkenaan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Nurul Izzah menambah, tindakan tentera rejim Zionis yang dilaporkan menggunakan lebih 900 kilogram bahan letupan bagi menyerang warga Gaza ketika sedang melakukan Solat Subuh berjemaah adalah kezaliman yang tiada batasnya.
Malah katanya, bedilan ke atas sekolah Al-Tabain yang terletak di kejiranan Al-Daraj di timur Kota Gaza yang digunakan sebagai pusat perlindungan pelarian telah menyebabkan kehilangan lebih 100 nyawa.
Dalam tempoh tujuh hari, Israel telah menyerang tujuh sekolah, yang mana ia merupakan pusat perlindungan bagi yang kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, Pengerusi Ops Ihsan, Jismi Johari pula menegaskan bahawa dunia perlu bersuara dan menggesa kuasa besar untuk membuka laluan kemanusiaan agar bantuan barangan seperti makanan, air dan ubatan dapat memasuki Gaza.
Menurutnya, pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyokong cadangan gencatan senjata di Gaza pada 11 Jun yang lalu harus direalisasikan dengan segera bagi menegakkan keadilan dan menamatkan pelanggaran hak asasi manusia.
“Ini adalah masa untuk badan-badan dunia seperti PBB, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dan ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa) bertindak. Israel menjalankan genosid secara terang-terangan dan dunia hanya melihat tanpa apa-apa tindakan dikenakan ke atas mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!