KPKT minta salur aduan kilang e-waste haram
SEPANG - Orang ramai boleh mengemukakan aduan secara dalam talian kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan (KPKT) sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kilang haram memproses sampah elektronik atau e-waste.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, isu berkenaan sentiasa diberi perhatian oleh kementerian itu kerana ia melibatkan kesejahteraan komuniti setempat.
“Kita ada terima aduan sebelum ini. Cuma di Selangor tindakan adalah di bawah kerajaan negeri dan pejabat daerah kerana Selangor tidak menandatangani Akta 672," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Lampu Solar Parlimen Sepang pada Ahad.
Aiman berkata, pihaknya juga sentiasa menggerakkan kempen kesedaran menerusi SW Corp bagi mengelak orang ramai membuang sampah elektronik sewenang-wenangnya.
“Kempen-kempen kesedaran giat dijalankan di peringkat kampung dan taman perumahan,” katanya.
Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan aktiviti kilang haram di Segamat, Johor yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.
Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] bagi kesalahan membuang sampah agar tindakan lebih tegas dikenakan ke atas pelaku, Aiman Athirah berkata, syor berkenaan sedang dikaji.
“Saya dan YB Menteri KPKT adalah sebagai satu pasukan apa yang disebutkan menteri itu telah dibincangkan dan KPKT sedang memerhati keperluannya dari masa ke masa,” katanya.
Terdahulu 113 unit lampu solar bernilai RM700,000 akan dipasang di 16 buah kampung di Parlimen itu.
Tujuan utama pemasangan lampu berkenaan adalah untuk mengelak kejadian vandalisme dan jenayah di lokasi yang dikenal pasti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!