Kerajaan, pihak sekolah perlu banteras budaya vape

Lee Lam Thye. Laporan Sinar Harian
Lee Lam Thye. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dan pihak sekolah perlu bekerjasama bagi membanteras serta menentang budaya vape atau rokok elektronik dalam kalangan pelajar.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius kerana ia berisiko menimbulkan masalah kesihatan kepada generasi muda.

Menurutnya, budaya itu juga boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan menyebabkan masalah ketagihan sehingga membebankan ibu bapa serta masyarakat.

“Tidak disangkal lagi bahawa rokok elektronik menimbulkan risiko kesihatan yang ketara, terutamanya kepada badan anak muda yang sedang dalam proses tumbesaran.

“Ini termasuklah ketagihan nikotin, kerosakan paru-paru dan pendedahan kepada bahan kimia yang berbahaya.

“Vape boleh membawa kepada penggunaan produk tembakau tradisional, sekali gus mengekalkan kitaran ketagihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah kebangsaan daerah Kemaman ditemui tidak sedarkan diri dipercayai setelah menghisap rokok elektronik jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin sudah menerima laporan daripada Jabatan Kimia dan mendapati tiada kesan dadah atau bahan terlarang dalam tubuh pelajar tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pihak sekolah perlu melaksanakan program pendidikan rakan sebaya iaitu sesi perkongsian bersama pelajar yang telah berhenti daripada melakukan aktiviti tidak bermoral itu.

Tambah beliau, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak mereka.

“Pihak sekolah boleh bekerjasama dengan selebriti popular dan pempengaruh media sosial untuk menyebarkan mesej anti vape dengan mengaitkan kisah inspirasi peribadi mereka.

“Ia memerlukan usaha kolektif daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pelajar sendiri untuk memerangi tabiat vape dan mencipta masa depan yang lebih sihat dan produktif untuk generasi akan datang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!