Kebakaran ragut tiga nyawa: Usaha kesan Azman diteruskan

Azman dicari bagi membantu siasatan insiden kebakaran yang meragut tiga nyawa. Foto IPD Muar
Azman dicari bagi membantu siasatan insiden kebakaran yang meragut tiga nyawa. Foto IPD Muar
A
A
A

MUAR - Polis masih meneruskan usaha mengesan individu yang disyaki terlibat dalam insiden kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh Jumaat lalu.

Individu yang dikenali sebagai Azman Mohamed Nor, 48, yang beralamat terakhir di No. 33, Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan dipercayai melarikan diri selepas kebakaran berlaku dengan menunggang sebuah motosikal.

Polis juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Hasil bedah siasat terhadap mayat Noradriana Nor Hasyim, 11; Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 dan Ara Abdul Hamid, 76, mendapati wujudnya unsur jenayah dalam kematian mereka.

Dalam kejadian sekitar jam 1.30 pagi Jumaat lalu, Noradriana bersama datuk dan neneknya itu maut selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Paya Redan.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superinten Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis daerah Muar bernombor 06-9564800 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!