Shah Firdaus ke saingan akhir keirin

Shah Firdaus ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome hari ini. Foto Bernama
Shah Firdaus ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki suku akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome hari ini. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] ATLET berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mendapatkan slot final acara keirin di Sukan Olimpik Paris pada Ahad apabila pelumba Jepun, Kaiya Ota disingkirkan selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Dalam aksi di Velodrom Saint Quentin, Muhammad Shah Firdaus menyudahkan saingan saringan kedua di kedudukan keempat namun Ota yang mengakhiri saingan di kedudukan ketiga dikesan melakukan kesalahan sekali gus disingkirkan.

Aksi saringan tersebut dimenangi pelumba Britain, Jack Carlin diikuti atlet Australia, Matthew Glaetze dan Muhammad Shah Firdaus naik ke kedudukan ketiga untuk meneruskan peluang kilauan pingat negara.

Tiga pelumba terbaik dalam setiap sesi saringan akan ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada jam 7.32 malam ini dan selebihnya akan ke penentuan tempat ke 7-12.

Kemaraan ke final yang dilakukan pelumba berusia 28 tahun itu nyata cukup menggembirakan selepas kem negara berdepan detik duka jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disingkirkan seawal saringan pertama acara itu pada Sabtu.

Ia susulan tindakan Azizulhasni cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.

Azizulhasni dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan dengan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Rio 2016 itu disingkirkan daripada saingan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!