Pencapaian Shah Firdaus satu kebanggaan

Shah Firdaus terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome hari ini. Foto Bernama
Shah Firdaus terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome hari ini. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENCAPAIAN atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom di sukan Olimpik Paris 2024 seharusnya boleh dibanggakan selepas mengakhiri saingan final keirin di Velodrom Saint Quentin en Yvelines pada Ahad.

Pelumba berusia 28 tahun itu yang sebelum ini mungkin tidak diletakkan harapan tinggi berjaya tampil dengan kayuhan memukau untuk berada di kedudukan gangsa sebelum terjatuh pada 250 meter terakhir bersama dua pelumba lain iaitu Shinji Nakano dan Jack Carlin.

Emas dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen diikuti dua atlet Australia, Matthew Richardson (perak) dan Matthew Glaetzer (gangsa)

Sebelum ini, Shah Firdaus berjaya meraih slot ke final selepas pelumba Jepun, Kaiya Ota yang berada di kedudukan ketiga di pusingan separuh akhir heat kedua dikesan melakukan kesalahan.

Ia menyaksikan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang mengakhiri saingan di kedudukan keempat itu naik ke kedudukan ketiga untuk layak ke final.

Untuk rekod, pencapaian yang diraihnya di Olimpik kali ini memperbaiki pencapaian yang dilakukan pada penampilan pertama di Tokyo pada 2020 apabila terkandas di pusingan suku akhir.

Kejayaan ke final itu juga nyata cukup menggembirakan selepas kem negara berdepan detik duka jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang disingkirkan seawal saringan pertama acara itu pada Sabtu.

Ia susulan tindakan Azizulhasni cuba membuat gerakan awal dengan memotong pelumba lain sebelum pacer keluar daripada trek.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni dikesan turut melepasi pacer dan perlumbaan itu kemudiannya dibatalkan dengan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa Rio 2016 itu disingkirkan daripada saingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!