Sekolah Cina, kampung baru perlu lebih banyak program bahasa kebangsaan

Kah Wong ketik bercakap kepada pemberita pada Ahad.
Kah Wong ketik bercakap kepada pemberita pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan lebih banyak program bahasa kebangsaan dianjurkan di peringkat sekolah aliran Cina dan kampung baru.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, program seumpama itu dilihat dapat memberi galakan terhadap penguasaan dan kecintaan bahasa Melayu dalam kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Menurutnya, galakan itu juga adalah selari dengan usaha KPM untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan dalam masa sama mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris serta bahasa ibunda di sekolah aliran masing-masing.

Kah Woh menyantuni murid semasa hadir ke Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Pokok Assam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam di Taiping pada Ahad.
Kah Woh menyantuni murid semasa hadir ke Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Pokok Assam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam di Taiping pada Ahad.

"Masyarakat Cina yang sudahpun fasih dalam bahasa ibunda, mereka juga perlu belajar menguasai bahasa Melayu bermula di peringkat sekolah.

"Perkara ini penting untuk kita memastikan sekolah vernikular dapat diteruskan dalam sistem pendidikan negara dan dalam hal ini, KPM akan meneruskan polisi-polisi yang baik dan memberi manfaat dari segi pendidikan untuk kepentingan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Pokok Assam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam di sini pada Ahad.

Kah Woh (duduk tengah) bersama barisan pelajar dan komuniti kampung baru yang menjayakan Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Pokok Assam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam di Taiping pada Ahad.
Kah Woh (duduk tengah) bersama barisan pelajar dan komuniti kampung baru yang menjayakan Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru Pokok Assam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pokok Assam di Taiping pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Program Semarak Bahasa Kebangsaan Kampung Baru merupakan kolaborasi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pelaksanaan program yang bermatlamat meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan khususnya dalam kalangan penutur bukan asli bahasa tersebut melibatkan 10 SJKC seluruh negara bermula Jun hingga September depan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program berlangsung seperti pertandingan mewarna, pertandingan baca berita, pertandingan celik minda dan nyanyian lagu bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, program rentas kementerian itu unik kerana dapat menggabungkan kekuatan kedua-dua kementerian untuk menarik keterlibatan bukan sahaja kalangan pelajar, tetapi komuniti setempat.

"Dua minggu lalu, DBP juga ada mengadakan Forum Bahasa Melayu bersama dengan sekolah-sekolah persendirian Cina di negeri Perak.

"Ini menunjukkan bahawa di dalam sistem pendidikan kita, tidak kiralah mana-mana aliran, sekolah swasta atau kerajaan, semua itu elemen yang penting bagi negara bergerak ke hadapan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!