Sifan Hassan menang emas maraton wanita, pecah rekod Olimpik
PELARI Belanda Sifan Hassan muncul juara dalam acara maraton wanita Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ahad, menewaskan Tigst Assefa dalam penamat yang sengit.
Pemenang maraton London dan Chicago 2023 itu, Hassan, yang meraih pingat gangsa masing-masing dalam cara 5,000 meter dan 10,000m di Paris setelah memenangi emas di Tokyo, mengikuti jejak Emil Zátopek dari Republik Czech yang terkenal memenangi pingat dalam tiga acara di Sukan Olimpik 1952 - tetapi kesemuanya emas.
Agensi berita Jerman dpa melaporkan Hassan dan Tigst bergesel semasa pecutan akhir, dengan pengalaman Hassan dalam acara trek membantunya mengatasi pelari Ethiopia itu.
Masa 2 jam 22.55 saat yang dicatatkan Hassan merupakan rekod Olimpik, satu pencapaian luar biasa memandangkan laluan berbukit di Paris.
Pelari Kenya, Hellen Obiri meraih gangsa dengan catatan masa peribadi terbaik.
Rakan senegara Obiri, Sharon Lokedi juga mencatat masa peribadi terbaik untuk menduduki tempat keempat, manakala juara dunia, Amane Beriso Shankule dari Ethiopia ketinggalan dua kilometer sebelum penamat dan berada di tempat kelima, menurut dpa.
Juara Olimpik Tokyo dari Kenya, Peres Jepchirchir, 30, berada dalam kumpulan pendahulu sehingga kilometer ke-33 sebelum tiba-tiba ketinggalan.
Jepchirchir, yang telah memenangi maraton New York, Boston dan London dalam tempoh empat tahun lepas, mencatat rekod dunia wanita sahaja dengan masa 2:16.16 di ibu negara British pada April lepas tetapi laluan Paris terbukti terlalu mencabar untuknya dan dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.
Nama besar dalam perlumbaan lelaki pada Sabtu, yang dimenangi oleh pelari Ethiopia, Tamirat Tola dengan satu lagi rekod Olimpik, juga berdepan cabaran sukar di laluan itu.
Laluan dari Dewan Bandar Raya Paris, yang menuju ke barat hingga ke Istana Versailles dan kembali ke bandar untuk tamat di Les Invalides. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!