Warga emas ditahan, pasang Jalur Gemilang terbalik

Jalur Gemilang dipasang dalam kedudukan terbalik yang tular di media sosial. Foto Media sosial
Jalur Gemilang dipasang dalam kedudukan terbalik yang tular di media sosial. Foto Media sosial
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah bangunan di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 60 tahun itu dilakukan sejurus insiden tersebut tular di media sosial sekitar jam 3.20 petang.

Menurutnya, menerusi hantaran yang dikongsi di laman Facebook 'Kuala Kangsar Tetap Dihati' itu, menunjukkan secara jelas bendera Malaysia dipasang dalam kedudukan terbalik dengan meletakkan bahagian bulan sabit dan bintang di bawah.

"Satu laporan polis dibuat berkaitan hantaran itu dan tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki yang tinggal di bangunan tersebut.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan mendapati, individu terbabit terkhilaf dan tidak menyedari bahawa bendera itu dipasang terbalik.

Katanya, langkah segera telah diambil dengan memperbetulkan semula pemasangan Jalur Gemilang pada hari sama.

"Lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dan berhati-hati dengan setiap pemasangan bendera terutama sempena bulan kemerdekaan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!