Penduduk 10 pulau terjejas sungai surut

Bot-bot tambang tersadai di tepi Pengkalan Kok Majid. Gambar kecil: Mohd Amirul, Mohd Rofee dan Roslan
Bot-bot tambang tersadai di tepi Pengkalan Kok Majid. Gambar kecil: Mohd Amirul, Mohd Rofee dan Roslan
A
A
A

TUMPAT - Kira-kira 1,500 penduduk di 10 perkampungan pulau sekitar daerah ini terjejas berikutan paras air sungai yang menjadi laluan utama keluar masuk ke tanah besar surut luar biasa di Pengkalan Kok Majid di sini.

Situasi itu dikatakan berlaku selepas banjir gelombang kedua 2019 iaitu kira-kira lebih sebulan lalu apabila air dari hulu mengalir dengan laju dan meninggalkan lumpur di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk orang kurang upaya (OKU), Roslan Ismail, 48, berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk untuk bergerak menggunakan bot iaitu satu-satunya pengangkutan mereka.

“Laluan ini juga digunakan pelajar sekolah, kakitangan klinik dan guru. Jadi, ketika air surut macam ini sukar untuk menggunakan bot bagi menyeberangi sungai.

“Kadang perlu tunggu air pasang dan kerap kali penduduk terpaksa turun di Jeti Kuala Besar yang jaraknya lebih jauh antara 2 ke 3 kilometer dengan tambang RM5 berbanding RM2 kos kebiasaannya dari Pulau Seratus ke Pengkalan Kok Majid,” katanya.

Seorang peniaga yang tinggal di Kampung Pulau Beluru, Mohd Rofe Ismail, 52, pula berkata, keadaan itu juga menjejaskan pendapatannya yang berniaga barangan di atas bot dari satu pulau ke pulau.

“Pagi saya akan naik bot dari Pulau Beluru ke Kok Majid kemudian menaiki van ke RTC Tunjong dan membawa pulang bekalan seperti ikan, sayuran serta kuih-muih untuk berjaja menggunakan bot.

“Akibat air sungai surut, banyak pengkalan tidak dapat dimasuki. Akibatnya saya terpaksa bercuti daripada berniaga sejak dua hari lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan lengang di Pengkalan Kok Majid kerana air surut menyebabkan sukar untuk menyeberangi sungai dengan bot. - Foto ihsan pembaca
Keadaan lengang di Pengkalan Kok Majid kerana air surut menyebabkan sukar untuk menyeberangi sungai dengan bot. - Foto ihsan pembaca

Sementara itu, pemandu bot, Mohd Amirul Asyraf Abdul Rahman, 29, yang berpengalaman 10 tahun berkata, air surut sering dialami namun kali ini agak luar biasa hingga menampakkan daratan di beberapa lokasi, sedangkan itu adalah timbunan selut yang dibawa arus.

“Air surut bermula awal pagi sehingga petang. Sangat mencabar kerana saya terpaksa mengayuh menggunakan dayung. Bot berisiko patah bilah kipas, enjin dimasuki selut atau pecah selain tidak boleh membawa muatan ramai.

"Saya perlu berulang-alik lebih kerap menyebabkan membazir petrol kerana perlu mencari laluan sesuai untuk mengelak kawasan air surut.

“Air pasang yang bermula lewat petang sehingga tengah malam pula membawa bersama lumpur dan meninggalkannya di beberapa lokasi yang sudah sedia ada lumpur (hasil dari banjir gelombang kedua) menjadikannya semakin membukit,” katanya.

Sehubungan itu katanya, penduduk mengharapkan bantuan daripada pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terhadap keadaan yang dialami penduduk di kampung-kampung berkenaan.

“Saya harap ada bantuan daripada kerajaan atau mana-mana pihak agar dapat menyelesaikan masalah ini contohnya sama ada dengan mendalamkan sungai atau membersihkan lumpur tersebut supaya kami dapat meneruskan rutin seperti biasa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!