Shah Firdaus disingkirkan biarpun tamat di kedudukan keempat

Pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome pada Ahad. Foto Bernama
Pelumba basikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlibat dalam perlanggaran ketika beraksi acara basikal trek keirin lelaki peringkat akhir pada Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en Yvelines National Velodrome pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA berbasikal trek negara Muhamad Shah Firdaus Sahrom disingkirkan pada final acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun berasal dari Muar itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat, dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh, semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome sebentar tadi.

Meskipun keputusan pada mulanya menunjukkan Muhammad Shah menamatkan saingan pada kedudukan keempat, keputusan itu tiba-tiba berubah kepada disingkirkan (relegated) oleh laman sesawang rasmi temasya tersebut, menjadikan beliau tercampak ke kedudukan keenam.

Pingat emas acara itu milik pelumba Belanda Harry Lavraysen diikuti perak dan gangsa masing-masing milik Matthew Richardson dari Australia dan rakan senegaranya Matthew Glaetzer.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Muhamad Shah gagal menebus kekecewaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang tersingkir di pusingan pertama acara sama.

Malaysia secara rasmi menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!