PDRM bawa pulang tiga mata dari Paroi
PDRM FC meneruskan momentum positif saingan Liga Super apabila bangkit ketinggalan satu gol untuk menjinakkan Negeri Sembilan FC, 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Tiga mata diraih The Cops kendalian P Maniam membolehkan kelab tersebut melonjak ke tangga kelapan liga dengan mengumpul lapan mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Negeri Sembilan asuhan kendalian Azzmi Ab Aziz pula berada dikedudukan ke-12 dengan mengumpul tiga mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
The Cops tampil ke Paroi dengan momentum positif selepas mengikat pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Selayang pada 31 Julai lalu, manakala skuad Rusa pula memburu kemenangan selepas tewas 2-3 kepada Terengganu FC, di Gong Badak pada 30 Julai lalu.
Skuad Rusa terlebih dulu memimpin perlawanan separuh masa pertama menerusi rembatan kapten Negeri Sembilan, Barathkumar Ramaloo menewaskan penjaga gol, PDRM, Nor Hakeem Hamidun pada minit ke-45.
Cops kembali bertenaga separuh masa kedua apabila melancarkan beberapa percubaan ke arah gawang skuad Rusa dikawal penjaga gol Muhamad Aqil Abdul Razak.
Hasilnya anak buah Maniam berjaya menyamakan kedudukan menerusi
Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi yang menyudahkan hantaran kapten PDRM, Faith Obilor pada minit ke-54.
Gol itu ternyata membarakan semangat pemain-pemain Cops apabila peledak berbisa pasukan pelawat Bruno Suzuki menterjemahkan sentuhan Muhammad Shahrel Fikri untuk gol pada minit ke-58.
LIGA SUPER 2024/25
Keputusan
Negeri Sembilan 1-2 PDRM
Kuching City 2-2 Penang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!