Anak muda terus leka, pendakwah gaduh isu remeh

Permasalahan umat seperti pergaulan bebas dan hedonisme terus berkembang dan subur dalam diri anak-anak muda. Foto 123RF
Permasalahan umat seperti pergaulan bebas dan hedonisme terus berkembang dan subur dalam diri anak-anak muda. Foto 123RF
A
A
A

KEJADIAN terbaharu serangan rejim terhadap Sekolah al-Tabin di bandar Gaza, Palestin pada waktu Subuh 10 Ogos lalu menyebabkan lebih 100 nyawa rakyat negara itu yang berlindung di sekolah tersebut terkorban.

Wisma Putra dalam satu kenyataannya meramalkan angka korban akibat serangan tersebut akan terus meningkat akibat kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan mangsa.

Ketika artikel ini ditulis, perang Gaza yang tercetus bermula lebih 10 bulan lalu menyebabkan hampir keseluruhan kawasan di Palestin musnah sepenuhnya.

Kematian pula direkodkan bertambah setiap hari dan angka korban akibat kezaliman rejim Zionis ini telah melepas 39,700 orang, selain kira-kira 1.9 juta daripada 2.3 juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal.

Malah lebih menambah derita rakyat Palestin, wabak penyakit berjangkit turut menular dengan cepat selain wabak polio dan krisis kebuluran yang semakin membimbangkan akibat sekatan bantuan.

Bagaimanapun, ketika rakyat Palestin masih lagi diserang dan dibedil rejim Israel, sebahagian umat Islam di negara kita masih lagi leka dengan pelbagai perkara yang melalaikan.

Lihat sahaja pelbagai program hiburan dihidangkan di kaca televisyen dan media sosial, membuatkan rakyat negara ini terutamanya belia dan remaja terus diulit mimpi, seolah-olah tiada apa yang berlaku terhadap saudara se-Islam di Palestin.

Baru-baru ini muncul pelbagai program bual bicara yang dihoskan oleh pempengaruh bersama dengan golongan anak muda.

Artikel Berkaitan:

Dalam program tersebut, anak-anak muda ini meluahkan perasaan suka secara terang-terangan kepada pasangan berlainan jantina, tanpa segan silu.

Perkara ini jika tidak disekat daripada awal, akan menyebabkan pergaulan bebas secara tidak terkawal malah boleh mengakibatkan masalah sosial dalam kalangan mereka.

Semua pihak termasuk kerajaan, jabatan agama, institusi pendidikan dan masyarakat perlu mengambil peranan masing-masing dalam mencegah perkara ini daripada terus menular.

Penulis bagaimanapun ingin menegur segelintir pendakwah atau ustaz yang asyik sibuk label-melabel pihak yang tidak sealiran dengannya dan tidak mahu berlapang dada dalam perkara khilafiah seperti amalan bidaah dan sebagainya.

Permasalahan umat seperti pergaulan bebas dan hedonisme ini pula terus berkembang dan subur dalam diri anak-anak muda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!