Yahya Sinwar, 'pakar sejarah orang Yahudi'

Sinwar berjabat tangan dengan pejuang Briged al-Qassam sewaktu perhimpunan sempena ulang tahun ke-35 penubuhan gerakan itu pada 14 Disember 2022.
Sinwar berjabat tangan dengan pejuang Briged al-Qassam sewaktu perhimpunan sempena ulang tahun ke-35 penubuhan gerakan itu pada 14 Disember 2022.
A
A
A

GENTING GAZA - Yahya Sinwar, nama yang mula meniti di bibir masyarakat dunia selepas dia dinamakan sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang gugur syahid di Teheran pada 31 Julai lalu.

Beliau yang dilahirkan pada 19 Oktober 1962 di Kem Pelarian Khan Yunis, selatan Gaza merupakan seorang yang cukup digeruni oleh rejim Zionis.

Media antarabangsa menggambarkan Sinwar, 61, sebagai antara pemimpin tertinggi Hamas yang dianggap paling tegas dan enggan berkompromi apatah lagi ketika berhadapan dengan kekejaman yang dilakukan oleh Israel.

Yahya Sinwar
Yahya Sinwar

Tahu helah Israel

Beliau juga disifatkan sebagai seorang yang sangat arif tentang Israel dan memahami rejim itu daripada 'A hingga Z'.

Sinwar pernah ditahan beberapa kali oleh Tel Aviv ketika menuntut di Universiti Islam di Gaza.

Pada awal 1980-an, beliau menjadi pejuang yang membantah aktiviti pendudukan Israel, sekali gus diyakini bakal menjadi figura yang bakal 'menggoncang' keangkuhan Israel.

Artikel Berkaitan:

Meskipun pernah dipenjara selama 22 tahun dari 1988 sehingga 2011, sosok itu semakin kuat menentang Israel.

Kehidupan beliau di sebalik tirai besi mengajarnya tentang selok belok tentera Israel, di sana beliau mempelajari bahasa Ibrani bagi memudahkannya memahami dengan jelas tentang helah musuh.

Menurut The New York Times, Yuval Bitton, seorang doktor gigi Israel yang merawat Sinwar semasa dalam tahanan berkata, beliau telah berkongsi halaman terjemahan secara rahsia supaya tahanan Palestin lain dapat mengkaji taktik memerangi keganasan agensi itu.

Menurutnya, Sinwar suka menggelar dirinya sebagai 'pakar sejarah orang Yahudi'.

Daripada satu sudut lain, Sinwar sering dilihat sebagai antara pegawai kanan Hamas yang cukup kental dan bertanggungjawab menubuhkan Briged Qassam iaitu sayap tentera Hamas.

Beliau menubuhkan Briged Qassam selepas menamatkan pengajian bertujuan untuk menentang pendudukan dan kezaliman berterusan Israel.

Gambar yang dirakamkan pada 2019 ini menunjukkan Sinwar (kanan) dan Haniyeh menghadiri sebuah acara di Genting Gaza.
Gambar yang dirakamkan pada 2019 ini menunjukkan Sinwar (kanan) dan Haniyeh menghadiri sebuah acara di Genting Gaza.

Ketokohannya tidak dapat dipertikaikan lagi apabila beliau mengetuai Operasi Taufan al-Aqsa yang telah memberi tamparan hebat kepada rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.

Perkukuh kedudukan

Penganalisis politik Palestin yang berpusat di Ramallah, Nour Odeh berpendapat pelantikan Sinwar akan memberi cabaran besar kepada Israel.

“Beliau telah memperkukuhkan kedudukan dan pengaruhnya di dalam Hamas.

“Keputusan Hamas untuk melantik beliau sebagai ketua gerakan itu kini meletakkan Gaza sebagai pusat perhatian dan bukan hanya di medan perang malah cara ia beroperasi,” katanya memetik laporan al Jazeera.

Musuh pula melihat Sinwar sebagai seorang yang 'sangat licik', pintar dan mempunyai 'banyak helah'.

Israel menerusi provokasi melampau terbaharu mengancam mahu membunuh Sinwar ketika konflik di Asia Barat semakin meruncing.

Sementara itu, ketua Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral, Herzi Halevi berikrar untuk menjejaki Sinwar yang dipercayai bersembunyi di rangkaian terowong rahsia pejuang Hamas.

Yang pasti, Israel tersilap percaturan apabila membunuh Haniyeh yang menggunakan pendekatan lebih lembut berbanding penggantinya.

Keputusan memilih Sinwar untuk menerajui Hamas mengirimkan mesej jelas perjuangan mereka tidak akan pernah terhenti meskipun Israel bermati-matian mahu menghapuskan pejuang bumi Gaza tersebut. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!