Sentiasa waspada, cuaca ekstrem berlaku bila-bila masa

Sentiasalah berhati-hati dengan cuaca panas atau ribut yang boleh menjadi ekstrem pada bila-bila masa. Gambar hiasan
Sentiasalah berhati-hati dengan cuaca panas atau ribut yang boleh menjadi ekstrem pada bila-bila masa. Gambar hiasan
A
A
A

‘SUDAH terhantuk baru tengadah’ merupakan peribahasa yang sering diucapkan masyarakat.

Merak Jalanan melihat peribahasa yang bermaksud sesudah terkena baru beringat-ingat itu memang tepat dengan perangai orang kita.

Sebagai contoh, peringatan kejadian kepala air yang sering berlaku apabila hujan melanda, masih lagi tidak dihiraukan hingga menyebabkan kecederaan parah malah meragut nyawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang sering menguar-uarkan ramalan cuaca seperti panas melampau dan hujan berserta ribut juga sering dipandang enteng.

Merak Jalanan ingin mengambil satu pengajaran daripada cuaca panas yang berlaku sekarang.

Baru-baru ini, anak kepada jiran Merak Jalanan suka bermain di atas padang dalam keadaan panas terik di atas kepala.

Walaupun ibunya sudah berbuih mulut menasihatkan agar tidak bermain dalam cuaca panas, tegurannya itu langsung tidak dipedulikan.

Apa yang berlaku selepas itu benar-benar memberi kesan kepada ibunya. Anaknya itu pengsan secara tiba-tiba, berlaku kekejangan dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Meraung-raung si ibu memeluk anaknya yang sudah tidak bernyawa itu. Ia benar-benar meruntun jiwa Merak Jalanan.

Artikel Berkaitan:

Pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu ialah janganlah sesekali meremehkan peringatan yang diberikan pihak berkuasa terutamanya berkaitan dengan cuaca ekstrem ini.

Merak Jalanan melihat kita bukannya tidak peka dengan peringatan yang dikeluarkan, tapi bersikap acuh tak acuh dan mengambil mudah dengan cuaca ekstrem yang mungkin berlaku ini.

Pesan Merak Jalanan, sentiasalah berhati-hati dengan cuaca panas atau ribut yang boleh menjadi ekstrem pada bila-bila masa. Jangan pula termenung di pusara kemudian hari. Bak kata pepatah, ibarat nasi sudah menjadi bubur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!