Feri ikonik Pulau Pinang karam di lautan sendiri

Sebuah feri ikonik iaitu Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) karam pada 24 Julai lalu.
Sebuah feri ikonik iaitu Feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) karam pada 24 Julai lalu.
A
A
A

FERI ikonik Pulau Pinang yang pernah menjadi mercu tanda negeri ini sejak 130 tahun lalu mungkin menjadi sejarah dan meninggalkan kenangan tersendiri buat rakyat Malaysia.

Manakan tidak perkhidmatan pengangkutan air tertua yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar di Butterworth menjadi lambang kebanggaan serta terkenal sebagai produk pelancongan negeri ini.

Mengikut fakta sejarah, feri di Pulau Pinang mula diusahakan oleh Quah Beng Kee pada tahun 1894 secara kecil-kecilan, namun reka bentuk feri bukanlah seperti sekarang tetapi hanya lanci-lanci (bot) kecil dengan menggunakan kuasa wap.Kemudian perkhidmatan feri diambil alih oleh Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang (LPPP) pada 1924 sebelum dinaik taraf dan mengangkut kenderaan bermotor.

Atas sambutan ramai, LPPP menambah dua buah feri lagi yang bernama Tanjong dan Kulim sebelum sebuah lagi feri (Bagan) ditambah pada tahun 1938.

Perang dunia kedua yang berlaku pada 1941 menyebabkan perkhidmatan feri di negeri ini lumpuh.

Akibat serangan daripada tentera Jepun feri Tanjong dan Kulim tenggelam di perairan pelabuhan manakala feri Bagan dibawa lari tentera Jepun ke Sumatera, Indonesia.

Selepas tamat perang, feri Bagan berjaya dibawa pulang dan LPPP diberi nafas baru pada April 1946.

Pada 1956, LPPP diambil alih oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan sepanjang 1957 hingga 1959, SPPP menambah lima buah feri membawa penumpang dan kenderaan berat.

Artikel Berkaitan:

Namun pada 31 Julai 1988 negara dikejutkan dengan kejadian Pangkalan Sultan Abdul Halim runtuh menyebabkan pangkalan itu tidak boleh digunakan lagi.

Banyak feri lama telah direhatkan dan hanya enam buah feri sahaja yang digunakan sehinggalah perkhidmatan kesemua feri itu dihentikan pada Januari 2021.

Semua feri yang pernah menjadi kebanggaan sudah tidak boleh lagi diselamatkan dan mungkin hanya akan menjadi besi buruk atau tukun suatu hari nanti.

Apa dikesalkan tiada usaha secara serius dilakukan oleh pihak berkaitan untuk menyelamatkan 'artifak' sejarah yang cukup bernilai ini.

Lebih menyedihkan salah sebuah feri ikonik iaitu feri Pulau Kapas dilaporkan tenggelam di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth pada 24 Julai lalu.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca daripada tali mengikat feri itu putus susulan angin kuat dan sehingga kini feri tersebut dilihat dibiarkan begitu sahaja di lokasi kejadian.

Pasti siapa yang melihat keadaan feri itu yang hampir sepenuhnya tenggelam akan bercampur baur perasaan.

Sedih, kecewa dan marah itu yang penulis boleh gambarkan apabila melihat nasib feri yang sebelum ini gah berlayar setiap hari kini menunggu masa untuk dilupuskan seolah-olah langsung tiada nilai.

Sekiranya kerajaan Pulau Pinang tidak mampu baik pulih atau selamatkan feri kebanggaan itu kenapa kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak peduli dan lakukan sesuatu bagi pastikan bahan sejarah itu dipelihara.

Mungkin ada beranggapan ia hanya kenangan sentimental sahaja namun dengan usia perkhidmatan feri itu menjangkau lebih 100 tahun dan pernah menjadi ikon pelancongan negeri ini amat tidak wajar ia dilupuskan begitu sahaja.

Sebelum ini media melaporkan SPPP akan melupuskan semua feri ikonik, selain tidak meneruskan rancangan menjadikannya sebagai restoran terapung atas faktor kos.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, feri yang karam itu akibat kebocoran tidak lagi dapat dibuat pembaikan.

Katanya, SPPP telah memajak feri ikonik termasuk feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat berkelayakan untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021.

Namun hasrat untuk menjadikan feri Pulau Kapas sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023.

Dengan pengesahan itu, maka kemegahan feri ikonik Pulau Pinang selama ini akan hilang, hanyut atau karam di lautan sendiri tidak lama lagi.

* Mohd Iskandar Othman adalah wartawan Sinar Harian Edisi Utara

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!