Ancaman gempa mega Nankai Trough cetus panik

No Image Caption
A
A
A

TOKYO - Pihak berkuasa Jepun pada Sabtu menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik dan tidak menyorokkan bekalan barangan keperluan dengan tujuan mahu memanipulasi harga.

Gesaan itu dibuat setelah kebimbangan semakin meningkat terhadap ancaman gempa mega hingga mencetuskan lonjakan permintaan kit bencana dan keperluan penting.

Kekalutan itu berpunca daripada nasihat pertama dikeluarkan agensi cuaca selepas gempa berkekuatan 7.1 skala Richter menggegar bahagian selatan negara tersebut hingga mengakibatkan seramai 14 individu cedera pada Khamis lalu.

Di sebuah pasar raya di Tokyo, pengendali premis itu terpaksa meletakkan nota permohonan maaf kepada pelanggan kerana masalah kekurangan bekalan beberapa produk.

Notis tertera yang mengehadkan pembelian sebanyak enam air botol untuk setiap seorang pelanggan di pasar raya di daerah Sumida, Tokyo.
Notis tertera yang mengehadkan pembelian sebanyak enam air botol untuk setiap seorang pelanggan di pasar raya di daerah Sumida, Tokyo.

“Ada potensi sekatan jualan bakal dilaksanakan,” antara kenyataan yang dipaparkan notis tersebut yang turut menjelaskan pembelian air botol sudah dihadkan kerana perolehan tidak stabil.

Sementara itu, laman web gergasi e-dagang, Rakuten menunjukkan tandas mudah alih, makanan diawet dan air botol antara yang berada dalam senarai barangan paling dicari pengguna.

Segelintir penduduk di ibu kota juga melakukan persediaan menghadapi bencana.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan sebuah bar, Kokoro Takeuchi, 27, berkata, dia segera membuat pembelian bekalan air botol secara dalam talian selepas gegaran kuat tersebut.

Bendera merah dipasang untuk memberi amaran kepada orang ramai di Pantai Shonan Bellmare Hiratsuka di wilayah Kanagawa.
Bendera merah dipasang untuk memberi amaran kepada orang ramai di Pantai Shonan Bellmare Hiratsuka di wilayah Kanagawa.

“Saya sangat bimbang. Tempat kerja saya berada di bawah tanah dan ada potensi kami tidak dapat menyelamatkan diri jika gempa berlaku. Jadi, saya telah memikirkan cara terbaik untuk berpindah,” ujarnya.

Terdapat juga kumpulan yang pasrah jika gempa mega itu benar-benar terjadi.

“Sudah tentu saya berasa amat takut. Tetapi, saya enggan terlalu memikirkan hal itu dan hanya berserah,” kata Mika Nakagawa, 34.

Ketika ini, beberapa peruncit di kawasan pesisir pantai Pasifik turut berdepan permintaan tinggi bekalan berkaitan bencana. - Agensi

Info

> Nasihat dikeluarkan pakar melibatkan 'zon subduksi', Nankai Trough antara dua plat tektonik di Lautan Pasifik di mana gempa kuat pernah berlaku sebelum ini.

> Ia menjadi tapak gempa berkekuatan lapan atau sembilan pada skala Richter pada setiap satu hingga dua abad. Sebelum ini, kerajaan pusat meramalkan gempa mega seterusnya akan berlaku dalam tempoh 30 tahun lagi dengan keberangkalian sebanyak 70 peratus.

> Gempa kuat Nankai Trough berpotensi berlaku secara 'berpasangan' dengan jarak masa antara kedua-duanya adalah selama dua tahun. Contoh kejadian gempa berkembar Nankai Trough adalah pada 1944 dan 1946.

> Laman X menjadi platform perkongsian maklumat tidak sahih tentang ancaman gempa mega secara meluas selepas gegaran 5.3 skala Richter melanda wilayah Kanagawa berhampiran Tokyo pada Jumaat yang turut mencetuskan amaran kecemasan dan penggantungan operasi perkhidmatan kereta api laju. Kebanyakan ahli seismologi percaya gempa tersebut tiada kaitan secara langsung dengan gempa mega Nankai Trough.

> Menurut ramalan saintis diterbitkan pada 2020, jika gempa mega berlaku berhampiran Jepun, Plat Laut Filipina akan bergoncang dan menghasilkan gegaran kuat. Anjakan menegak dasar laut akan menghasilkan tsunami dan gelombang setinggi hampir 30 meter menuju ke pantai Jepun.

> Menerusi semakan semula senario bencana yang dilakukan kerajaan, ia mendapati kira-kira 323,000 berisiko maut jika gempa kuat berlaku di Nankai Trough, kebanyakanya disebabkan gelombang tsunami.

> Pada 1 Januari lalu, gempa kuat 7.6 skala Ritcher menggegar Semenanjung Noto di pantai Laut Jepun hingga meragut 318 nyawa dan runtuhan struktur serta menyebabkan kerosakan teruk pada jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!