Serap 'semangat rimba' dalam jiwa pelajar

Fadhlina (tengah) bersama peserta Program Kempori Pengakap Madani menyanyikan lagu sempena sambutan Hari Kebangsaan selepas menyempurnakan perasmian program di kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu.
Fadhlina (tengah) bersama peserta Program Kempori Pengakap Madani menyanyikan lagu sempena sambutan Hari Kebangsaan selepas menyempurnakan perasmian program di kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS - Pembentukan kepimpinan pelajar melalui unsur semangat rimba iaitu istilah yang berkait rapat dengan alam semesta perlu diserap dalam jiwa setiap pelajar bagi melahirkan generasi berdisiplin selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, latihan asas kepimpinan yang digilap melalui aktiviti perhimpunan khas ahli pengakap penting bagi membentuk adab, akhlak dan pembinaan sahsiah diri pelajar.

Menurutnya, ia bersesuaian dengan penganjuran Program Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan selama empat hari di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini.

"Kempori yang dianjurkan ini cukup signifikan dan penting khususnya kepada pihak Kementerian Pendidikan Malayasia (KKM) untuk menjadikan soal adab, akhlak dan pembinaan sahsiah itu sebagai tunjang utama dalam pendidikan.

"Saya harap kemahiran aktiviti pengakap yang dipelajari sepanjang kem ini dapat dimanfaatkan oleh semua peserta untuk pembangunan, potensi, sahsiah dan ansur maju anak-anak kita.

Fadhlina merakam kenangan bersama Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin (dua dari kanan) dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Abdullah Taib (kanan).
Fadhlina merakam kenangan bersama Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin (dua dari kanan) dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Abdullah Taib (kanan).

"Saya juga berharap agar semangat rimba yang diterapkan sepanjang kem ini juga akan terus berada dalam jiwa dan sanubari anak-anak untuk membina kepimpinan bermula di peringkat sekolah," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian kempori tersebut dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin; Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Abdullah Taib dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulung.

Artikel Berkaitan:

Kempori Pengakap Madani yang berlangsung bermula 9 hingga 12 Ogos itu disertai seramai 900 peserta termasuk guru dari seluruh negara.

Muhammad Esyhan Fierass, Ammar Zulkarnain, Nur Anisa Aina
Muhammad Esyhan Fierass, Ammar Zulkarnain, Nur Anisa Aina

Antara elemen yang diketengahkan dalam kem tersebut ialah kepimpinan, budaya kerja berpasukan dan pembangunan kerohanian.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, penganjuran Kempori Pengakap Madani dapat mendidik generasi muda mengenai nilai-nilai penting seperti hormat-menghormati, kerjasama berpasukan, ihsan dan kepimpinan aktiviti yang disediakan.

"Penglibatan aktif murid dalam pergerakan pengakap pastinya dapat membentuk disiplin dan jati diri mereka.

Fadhlina bersalaman bersama peserta Program Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu.
Fadhlina bersalaman bersama peserta Program Kempori Pengakap Madani Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu.

"Selain kepatuhan kepada disiplin yang terkandung dalam undang-undang Pengakap, sisi manusiawi pergerakan Pengakap untuk membantu membina masyarakat yang lebih baik sekali gus membantu mendidik pembangunan sahsiah murid yang holistik," ujarnya.

Cabaran baharu menyeronokkan

Sementara itu, peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Muhammad Esyhan Fierass Norsharin, 14, berkata, elemen kerjasama yang diperoleh melalui aktiviti berpasukan menjadikan dia seronok menyertai kem tersebut.

"Rasa seronok sebab berpeluang berkenalan dengan rakan-rakan dari sekolah lain dan bekerjasama dengan mereka melalui aktiviti yang dijalankan.

"Bagi saya sepanjang menyertai kursus ini saya turut berdepan beberapa cabaran namun ia amat menyeronokkan kerana kita sama-sama berusaha harungi cabaran sebagai satu pasukan," katanya.

Ammar Zulkarnain Alif Tarmizi, 15, dari SMK Tengku Lela Segara pula berkata, banyak ilmu baharu yang diperoleh walaupun kali pertama dia menyertai kursus seumpama itu.

"Saya kali pertama sertai kem pengakap besar seperti ini dan ada beberapa aktiviti yang saya suka antaranya 'veni vedi vici' yang menitikberatkan kerjasama dalam satu pasukan.

"Saya juga sukakan aktiviti 'war cry' iaitu sorakan supaya kita lebih yakin dan bersemangat untuk melakukan sesuatu," ujarnya yang mula menyertai Pengakap sejak Tahun Tiga.

Senada dengan Ammar Zulkarnain, Nur Anisa Aina Ahamad Rahimi, 16, dari SMK Pelong berkata, dia bertuah kerana terpilih menyertai kem tersebut kerana banyak mempelajari ilmu baharu.

"Saya paling suka aktiviti lestari alam dan 'ice breaking'. Melalui aktiviti ini, elemen kerjasama berpasukan amat penting bagi mencapai sesuatu objektif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!