Pantai Bersih tidak lagi bersih angkara puntung rokok

Longkang di sekitar kawasan R&R BORR dipenuhi dengan puntung rokok.
Longkang di sekitar kawasan R&R BORR dipenuhi dengan puntung rokok.
A
A
A

BUTTERWORTH - Kawasan persisir pantai di tepi Lebuhraya Lingkaran Luar Kulim-Butterworth (BORR) di sini yang menjadi tumpuan ramai setiap hari terutama pada hujung minggu dikatakan penyebab berlakunya pencemaran puntung rokok di sini.

Lokasi riadah itu sentiasa dipenuhi pengunjung terutama golongan muda pada waktu petang dan malam malah lebih meriah pada musim cuti persekolahan serta sambutan hari istimewa setiap tahun.

Kawasan pantai yang menyediakan pemandangan indah termasuk bangunan ikonik Komtar di bahagian pulau membuatkan lokasi yang dikenali sebagai Pantai Bersih tidak seperti namanya.

Sisa plastik, bekas minuman, kertas pembalut makanan serta sampah yang ditinggalkan orang ramai adalah pemandangan biasa di Pantai Bersih setiap pagi.

Sukarelawan Lestari R&R akan menjalankan operasi pembersihan di kawasan Pantai Bersih pada setiap hujung minggu.
Sukarelawan Lestari R&R akan menjalankan operasi pembersihan di kawasan Pantai Bersih pada setiap hujung minggu.

Tidak kurang juga ratusan puntung rokok yang kelihatan bertaburan di kawasan pantai, celahan batu dan paling banyak ditemui di kawasan parit yang mengalir air ke dalam laut.

Pengasas Kumpulan Lestari R&R, Jefferi Sakedan berkata, dianggarkan antara 200 hingga 500 puntung rokok dikutip oleh sukarelawan yang menjalankan operasi pembersihan pada setiap hujung minggu.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab perokok yang selamba membuang puntung merata-rata perlu dikenakan tindakan tegas kerana bukan mengakibatkan pencemaran sampah selain tidak mematuhi larangan merokok di tempat tumpuan awam.

Artikel Berkaitan:

"Masalah ini bukan perkara baharu malah sejak 2019 kami beroperasi, sampah-sampah ini termasuk puntung rokok yang paling banyak dikutip oleh sukarelawan.

"Dalam longkang di sekitar kawasan ini paling banyak dan ia terus mengalir masuk ke laut. Kami akan cuba kutip semua sebelum puntung-puntung rokok ini terus mencemar ekosistem laut kita," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini.

Sekitar 200 hingga 500 puntung rokok ditemui dibuang di kawasan Pantai Bersih.
Sekitar 200 hingga 500 puntung rokok ditemui dibuang di kawasan Pantai Bersih.

Bagi mengekang tabiat buruk perokok tidak bertanggungjawab itu, Jefferi menggesa agar pihak berkuasa berkaitan terutama Jabatan Kesihatan untuk melakukan rutin pemeriksaan atau pemeriksaan mengejut di sepanjang Pantai Bersih termasuk di kawasan Hentian dan Rawat BORR.

Katanya, papan tanda larangan merokok perlu diperbanyakan lagi berikutan kawasan itu menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ketika dihubungi memaklumkan kerja-kerja pembersihan dilakukan petugasnya setiap hari di sepanjang persisiran pantai di Seberang Perai yang berkeluasan hampir 16 ekar.

Menerusi kenyataan yang diberikan kepada Sinar Harian, antara sisa yang biasanya ditemui adalah seperti sisa makanan, bekas makanan, bekas minuman, puntung rokok dan lain-lain sisa.

"Sisa-sisa ini berpunca daripada aktiviti yang dijalankan di persisir pantai antaranya aktiviti beriadah dan memancing.

"Terdapat juga sisa-sisa yang hanyut daripada laut dan terperangkap di pantai," jelas kenyataan itu.

Selain itu, secara puratanya, sebanyak 1.4 tan sisa dipungut setiap hari daripada aktiviti pembersihan di sepanjang persisiran pantai di Seberang Perai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!