Bot karam: Dua aset udara bantu kesan pemancing hilang

Keluarga pemancing yang hilang menunggu perkembangan pencarian di pusat gerakan dekat Jeti Haji Pa di Kuala Kemaman.
Keluarga pemancing yang hilang menunggu perkembangan pencarian di pusat gerakan dekat Jeti Haji Pa di Kuala Kemaman.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat (Op carilamat) pemancing yang hilang akibat tragedi bot karam disambung semula jam 7 pagi pada Isnin.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Leftenan Maritimin Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, operasi tersebut akan ditingkatkan menggunakan dua aset udara bagi mengesan dua lagi mangsa iaitu Aina Hasna Mohamad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66.

"Kita masih menunggu arahan daripada pihak MRSC (Maritime Rescue Coordination Centre) sama ada mungkin akan mengubah sektor pencarian (termasuk) penambahan aset.

"Kita jangka akan ada dua aset udara iaitu satu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta satu daripada APMM (Maritim Malaysia)," katanya ketika ditemui di Jeti Haji Pa di sini, petang Ahad.

Jelas beliau, operasi pencarian pada Isnin merangkumi empat sektor membabitkan kawasan keluasan sekitar 153 batu persegi di sekitar lokasi kejadian itu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan sebuah bot dinaiki sembilan penumpang termasuk dua tekong karam dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada Ahad.

Bot dinaiki pemancing berasal dari Raub, Pahang dan Selayang, Selangor itu dipercayai dilanggar sebuah tongkang pada jarak tujuh batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Kejadian itu disedari sekumpulan nelayan yang menemukan lima daripada mereka termasuk seorang mangsa yang meninggal dunia terapung sebelum dibawa ke daratan kira-kira jam 8 pagi.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang terselamat termasuk seorang yang meninggal dunia, Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, ditemukan berpaut antara satu sama lain pada dua buah tong ikan.

Mayat seorang lagi mangsa iaitu tekong bot, Shahril Ismail, 50, dijumpai kira-kira jam 1 tengah hari yang sama sekitar lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!