Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS didorong sentimen positif

Ringgit terus dibuka pada paras yang lebih baik pagi ini, didorong oleh sentimen yang berdaya tahan menjelang pengumuman data KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 pada minggu ini. Gambar hiasan
Ringgit terus dibuka pada paras yang lebih baik pagi ini, didorong oleh sentimen yang berdaya tahan menjelang pengumuman data KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 pada minggu ini. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT terus dibuka pada paras yang lebih baik pagi ini, didorong oleh sentimen yang berdaya tahan menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 pada minggu ini, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik 30 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.4170/4290 berbanding dolar AS daripada 4.4200/4280 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya data suku kedua yang akan diumumkan pada Jumaat ini tidak akan jauh daripada anggaran awal pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus.

"Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) pada Julai akan dikeluarkan pada Rabu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pada Selasa, dengan trend disinflasi akan kekal,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, KDNK Jepun pada suku kedua 2024 akan diumumkan pada Khamis dengan anggaran konsensus menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.1 peratus selepas ekonomi menguncup 1.8 peratus pada suku pertama 2024.

"Oleh itu, pendirian dasar monetari Bank of Japan juga akan menjadi tumpuan berikutan peniaga menunggu petunjuk untuk melepaskan dagangan bawaan yen,” katanya.

Justeru, katanya AS/MYR akan berada hampir kepada paras sokongan segera pada RM4.40 hari ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.8198/8329 daripada 4.8253/8340 dan naik berbanding pound kepada 5.6303/6456 daripada 5.6373/6475 pada Jumaat lepas serta merosot berbanding yen Jepun kepada 3.0035/0121 daripada 3.0019/0075 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3348/3442 daripada 3.3381/3444 pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/278.2 daripada 277.5/278.2.

Mata wang tempatan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.5280/5795 daripada 12.5234/5514 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.71/7.73. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!