Annuar syor tanah diberi terus kepada peneroka tanpa diurus Kesedar

ANNUAR
ANNUAR
A
A
A

GUA MUSANG - Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa mengesyorkan agar tanah seliaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diberi terus oleh kerajaan negeri kepada peneroka.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, pemberian secara terus itu perlu dibuat tanpa melalui Kesedar kerana didakwa gagal menyelesaikan isu penyerahan tanah sejak puluhan tahun.

Menurutnya, desakan tersebut dilakukan sekiranya pengurusan Kesedar masih tidak bersungguh menyelesaikan isu tanah untuk diberi kepada peneroka walaupun sudah diluluskan permohonan Hakmilik Sementara (QT) oleh kerajaan negeri.

“Kita sudah mendapat jaminan daripada Menteri Besar Kelantan bahawa soal tanah, kalau (permohonan) sampai kepada kerajaan negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan diproses dan diluluskan.

“Tapi kalau Kesedar terus bermain silap mata, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri agar permohonan tanah peneroka dibuat terus kepada negeri dan kita kerajaan negeri terus beri kepada rakyat barulah selesai masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Pelancaran Tawaran Calon PN PRK Nenggiri di Markaz Tarbiah Renok di sini pada Ahad malam.

Dalam pada itu, Annuar turut mendakwa ada antara tanah peneroka yang diuruskan Kesedar belum dijelaskan bayaran premiumnya.

“Kerajaan negeri sudah luluskan QT kepada Kesedar di Paloh sahaja (dalam tempoh) 28 tahun dengan premium RM7.1 juta tapi sampai hari ini (bayaran) belum lagi dijelaskan.

Artikel Berkaitan:

“Di Rantau Manis permohonan untuk 600 lot tanah rakyat sudah lama kerajaan negeri luluskan dan dikenakan premium RM900,000 dan (Kesedar) bayar RM200,00 tapi (baki) RM600,000 sampai sekarang belum dibayar lagi.

“Tapi dia (BN) menjaja kononnya sekatan adalah daripada kerajaan negeri,” dakwanya.

Sebelum ini isu membabitkan tanah Kesedar mencetuskan kontroversi apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Ogos lalu mendakwa Kesedar tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Sementara itu, Annuar menegaskan peruntukan untuk penyediaan bekalan air bersih di penempatan pedalaman Orang Asli disalurkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Beliau menepis dakwaan kononnya isu masalah air yang membelenggu penduduk Orang Asli tersebut disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya.

“Jakoa bertanggungjawab tentang bekalan bukannya ia berada di bawah kerajaan negeri.

“Cuba pergi ke Pos Orang Asli ada antara kawasannya ada tangki, ada tong, ada rumah empangan, bagaimanapun pam air gagal berfungsi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!