Pengakap Selangor berkayak cabar diri menyusuri Ban RB

Sebahagian pengakap bergambar pada Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.
Sebahagian pengakap bergambar pada Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Berkayak menyusuri Ban RB antara 21 aktiviti menarik dilaksanakan pengakap sekolah rendah dan menengah sempena Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024 di Pusat Kokurikulum Seri Gambut.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tanjong Karang, Norsam Sarmon berkata, Kempori dwitahunan yang diadakan itu memberi peluang kepada ahli pengakap mengikuti acara rekreasi air dengan cabaran berbeza.

Menurutnya, setiap peserta menikmati pengalaman aktiviti air lasak malah berpeluang mempelajari teknik mengendalikan kayak.

Ahli pengakap menyertai aktiviti berkayak sempena Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.
Ahli pengakap menyertai aktiviti berkayak sempena Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.

"Mereka terlebih dahulu diberi taklimat untuk mengendalikan kayak supaya perjalanan mengharungi sungai berjalan lancar," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Seramai 316 pengakap dari tujuh daerah iaitu Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Gombak, Petaling Utama, Kuala Selangor dan Tanjong Karang menyertai Kempori tahun ini.

Norsam berkata, aktiviti berkayak bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah memberi ketenangan apabila dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Beliau berkata, pengakap juga turut terlibat dalam aktiviti lain antaranya kim's game, jungle tracking, masakan rimba, wall climbing, lawatan bendang, halangan komando, pertolongan cemas dan abseiling.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mereka turut terbabit dalam aktiviti model gajet, panjat pokok kelapa, koleksi sahabat, kawat hos (bomba) dan sukan rakyat, kembara sejauh 1.5 kilometer, merintis air dan memancing.

Tambah beliau, program tiga hari dua malam itu bertujuan memupuk semangat kerjasama, berdikari, meningkatkan motivasi, keyakinan diri peserta dan melahirkan ahli berdisiplin.

"Kita ingin melahirkan pengakap yang mempunyai semangat juang untuk memastikan kecemerlangan seimbang dalam bidang kokurikulum dan kurikulum," ujar beliau.

Dalam pada itu, Norsam berkata, golongan muda perlu melatih diri menjadi individu lasak, bersemangat waja dan mampu menghadapi suasana kehidupan yang pelbagai di samping bersedia untuk belajar pelbagai ilmu.

Guru dan ahli pengakap dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing pada Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.
Guru dan ahli pengakap dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Belimbing pada Kempori Pengakap Negeri Selangor 2024.

"Keseluruhan aktiviti berjalan dengan baik walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu dan peserta sangat teruja untuk mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.

"Setakat ini, kita tidak terima apa-apa aduan peserta ingin tarik diri dan pulang ke rumah, setakat mengadu demam dan selesema itu biasa dan mereka kelihatan seronok sepanjang aktiviti ini berlangsung," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!